Muhammad Ikhwan raih dua gelaran di Sepanyol
Bernama
Mac 13, 2022 23:40 MYT
Mac 13, 2022 23:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain badminton para negara Muhammad Ikhwan Ramli meneruskan aksi cemerlangnya apabila merangkul kejuaraan keduanya pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Ibedrola Sepanyol hari ini.
Muhammad Ikhwan memerlukan 35 minit sebelum berjaya meraih gelaran juara kategori perseorangan lelaki WH 1 (kerusi roda) selepas mengecewakan pilihan utama Thomas Wandschneider 21-12, 21-16 dalam kejohanan berlangsung di Cartagena.
Ini adalah gelaran keduanya selepas muncul juara Kejohanan Sepanyol Badminton Para Antarabangsa II 2022 di Vitora, juga menundukkan lawan sama 22-20, 22-24, 21-17 pada 6 Mac.
Sementara itu, Muhammad Ikhwan yang bergandingan dengan Noor Azwan Noorlan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara acara pasangan beregu lelaki kategori WH1-WH2.
Pasangan negara yang menguasai set pertama 22-20 bagaimanapun gagal meneruskan rentak cemerlang pada set kedua dan set penentuan apabila tunduk 19-21, 12-21 kepada Daiki Kajiwara-Keita Nishimura dari Jepun.
-- BERNAMA
#Pemain badminton para negara
#Muhammad Ikhwan Ramli
#Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Ibedrola
#sepanyol