Muhammad Ikhwan, Noor Azwan perlu lebih pendedahan - MPM
Bernama
September 1, 2024 05:00 MYT
September 1, 2024 05:00 MYT
PARIS: Pemain badminton para negara Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan perlu diberi pendedahan menyertai lebih banyak kejohanan yang lebih kompetitif, kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Beliau berkata kedua-dua atlet itu bukan sahaja perlu menyertai kejohanan peringkat Asia, malah di Eropah dan Amerika Selatan.
"Kalau boleh setiap kejohanan (Muhammad Ikhwan dan Noor Azwan) perlu pergi kerana pendedahan untuk di Asia sangat terhad," katanya kepada pemberita di sini.
Gandingan Muhammad Ikhwan-Noor Azwan tersingkir awal selepas hanya menang satu perlawanan dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal) dan tewas kesemua aksi dalam acara perseorangan kelas masing-masing.
Pasangan kedua dunia itu dikejutkan oleh pasangan Jepun Daiki Kajiwara-Hiroshi Murayama 21-17, 13-21, 16-21 diikuti kekalahan kedua kepada pasangan China Qu Zi Mo-Mai Jianpeng 16-21, 6-21.
Mereka kemudian menutup kempen sulung di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan kemenangan ke atas Rick Cornell Hellmann-Thomas Wandschneider dari Jerman 21-19, 21-17 dalam saingan Kumpulan B.
Muhammad Ikhwan, 29, yang beraksi dalam Kumpulan B acara perseorangan lelaki WH1 pula tunduk kepada wakil Korea Selatan Jeong Jaegun, 23-25, 21-17, 13-21 dan dibelasah 7-21, 4-21 oleh Zi Mo.
Noor Azwan pula akur kepada pemain Chile, Jaime Aranguiz, 13-21, 15-21 dan mengakhiri cabaran di Paris 2024 dengan tewas kepada Chan Ho Yuen dari Hong Kong 11-21, 11-21 pada aksi Kumpulan D perseorangan lelaki WH2.
Megat D Shahriman turut berharap Muhammad Ikhwan dapat memperbaiki prestasi serta meningkatkan ketahanan mental bagi mengatasi gementar ketika menghadapi kejohanan lebih besar.
"Muhammad Ikhwan perlu buktikan beliau ada momentum, tidak boleh jika ada temasya besar beliau gemuruh kerana itu memang akan mematahkan semangat, mungkin kena ubah aspek psikologi dan mental juga harus kuat," katanya.
-- BERNAMA