Muhammad Hakimi, Cheong Jun Hoong dipilih Olahragawan dan Olahragawati Perak

Bernama
Mei 19, 2017 00:17 MYT
Sultan Nazrin Shah berkenan bergambar bersama Muhammad Hakimi dan Cheong Jun Hong yang diwakili oleh adiknya Cheong Jun Yeng pada majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2015/2016 malam ini. --fotoBERNAMA
Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail dan penerjun negara Cheong Jun Hoong masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2015/2016.
Dengan anugerah itu, masing-masing menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai RM7,000.
Anugerah disampaikan baginda Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada majlis Anugerah Sukan Perak di sini malam ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.
Muhammad Hakimi memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Singapura 2016 manakala Jun Hoong memenangi pingat perak bagi acara 10m platform seirama pada Olympik Rio 2016.
Memberitahu pemberita kemudiannya, Muhammad Hakimi, 26, dari Taiping berkata pemilihannya sebagai olahragawan negeri adalah sebagai pemangkin semangat untuk lebih berjaya pada masa depan selain mengharumkan nama negara dan negeri.
"Ini mendorong semangat saya untuk fokus pada Sukan Sea untuk cuba dapat pingat emas dan membangkit semangat saya untuk kerja keras bagi melayakkan diri Kejohanan Dunka di London pada Ogos nanti," katanya.
Jun Hoong yang kini sedang menjalani latihan di China untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur diwakili adik perempuannya Jun Yeng menerima anugerah tersebut.
Jun Yeng berkata kakaknya gembira dan tidak menjangka dia mendapat anugerah berkenaan.
Penembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak pula dipilih sebagai Olahragawan Harapan dan Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri sebagai Olahragawati Harapan.
Bagi Anugerah Keluarga Sukan, ia diterima oleh Badrul Hamidi Gam yang merupakan bekas atlet tenpin bowling yang kini disertai anak-anaknya Syaidatul Afyna dan Syaidatul 'Afifah.
Bagi Pasukan Terbaik, ia dimenangi pasukan ragbi Perak yang menerima pingat emas bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong dan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan pada 2016.
Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukma dan Pasukan 4x100M (Wanita) Sukma menerima Anugerah Khas Kecemerlangan 2015/2016.
Sementara itu, anugerah kepimpinan sukan dimenangi Tang Choo Meng yang juga jurulatih dan pentadbir olahraga Perak dan negara serta Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada bekas jurulatih Kebangsaan 1981-2015 K.Jayabalan.
Manakala bagi Anugerah Jasamu Dikenang, ia dimenangi Chow Chew Chun (Shirley) yang merupakan bekas atlet tenpin bowling.
Anugerah media dianugerahkan kepada Penerbit Rancangan RTM Perak (Perakfm), Saiful Nawab Sabran.
-- BERNAMA
#Anugerah Sukan Perak #Cheong Jun Hoong #Muhammad Hakimi Ismail #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak
;