Muhammad Hakim Danish naik podium di GP Sepanyol
Bernama
April 28, 2024 23:30 MYT
April 28, 2024 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan peningkatan prestasi apabila menamatkan perlumbaan 2 Grand Prix (GP) Sepanyol bagi saingan Rookies Cup di kedudukan podium hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Litar Jerez, pelumba berusia 17 tahun itu menduduki tempat kedua dengan perbezaan 0.006 saat (s) di belakang pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe yang mencatat masa 25 minit 40.711saat (s) untuk menyambar tempat pertama.
Tempat ketiga menjadi milik Brian Uriarte dari Sepanyol dengan perbezaan masa 0.74s.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Muhammad Hakim Danish meningkat ke kedudukan kelima carta keseluruhan pelumba dengan mengumpul 27 mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan.
Muhammad Hakim Danish menzahirkan rasa gembira kerana mampu memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada perlumbaan 1 semalam.
"Hampir dapat tempat pertama, permulaan agak baik walaupun trek licin, namun saya dapat rentak kembali dan kejar Alvaro. Alhamdulillah dapat tempat kedua.
"Saya menantikan perlumbaan seterusnya, saya akan perbaiki kesilapan," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi ZK Racing hari ini.
-- BERNAMA