Muhammad Haikal intai pulih, kembali beraksi di All England

Bernama
Februari 11, 2025 13:35 MYT
MUHAMMAD HAIKAL: Secara peribadi, tentunya mahu main di All England sebab tak pernah main lagi, jadi saya harap sempat pulih. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri mengintai peluang membuka kempen musim 2025 bersama pasangan Choong Hon Jian, pada kejohanan All England 2025 di Birmingham bermula 11-16 Mac ini.
Muhammad Haikal yang disisihkan sejak bulan lepas susulan kecederaan koyak otot di bahagian pinggul kanan berkata beliau berkemungkinan terpaksa melupakan aksi di Terbuka Jerman 2025 dari 25 Feb-2 Mac, selain kurang pasti mengenai penyertaannya pada Orleans Masters di Perancis pada 4-9 Mac.
Berdasarkan pemeriksaan tahap kecederaan dilakukan Institut Sukan Negara pada Jumaat, pemain berusia 22 tahun itu berkata tahap pemulihannya kini telah mencapai 80 peratus.
"Semalam saya dah maklumkan dekat jurulatih, saya tak boleh sertai lagi untuk Terbuka Jerman, jadi saya akan tengok keadaan sama ada boleh main Orleans Masters atau All England.
"Secara peribadi, tentunya mahu main di All England sebab tak pernah main lagi, jadi saya harap sempat pulih," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, hari ini.
Kecederaan Muhammad Haikal itu menyaksikan beliau dan Hon Jian menangguhkan hasrat bersaing buat julung kali pada Terbuka Malaysia 2025, bulan lepas.
Muhammad Haikal, yang kembali menjalani sesi latihan di gelanggang bermula hari ini, berkata beliau banyak menumpukan aspek latihan di bahagian hadapan serta tidak boleh lagi melompat bagi mengelak risiko kecederaan lebih buruk.
Mengenai pengalaman berlatih di bawah kendalian ketua jurulatih beregu lelaki negara baharu Herry Iman Pierngadi, pemain dari Kelantan itu berkata legenda kejurulatihan dari Indonesia itu lebih banyak memintanya serta rakan sepasukan lain untuk cuba memukul dengan raket lebih berat bagi tujuan menambahkan kekuatan di pergelangan tangan.
"Bagi saya (latihan bersama Herry) okey dan bagus, macam banyak no lift (angkat bulu tangkis) dan dalam masa yang sama kami banyak guna raket berat. Bagi saya, bagus sebab saya kurang kekuatan," katanya.
Herry atau diberi julukan 'Naga Api' yang ditawarkan kontrak empat tahun oleh Persatuan Badminton Malaysia, merupakan jurulatih berprofil tinggi dan telah berjaya membuktikan sentuhan magisnya dengan membentuk gandingan bertaraf dunia dari Indonesia.
Antara pencapaian hebat figura berusia 62 tahun itu termasuk melahirkan juara Sukan Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
-- BERNAMA
#badminton #Muhammad Haikal Nazri #All England 2025 #cedera
;