Muhammad Azeem, Shereen terlepas kelayakan secara merit ke Olimpik
Bernama
Jun 23, 2024 16:40 MYT
Jun 23, 2024 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy terlepas peluang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit selepas gagal menghasilkan keputusan diinginkan pada Kejohanan Terbuka Kazakhstan semalam.
Kejohanan tersebut merupakan peluang terakhir buat kedua-dua pelari itu melayakkan diri secara merit menerusi kedudukan ranking kelayakan Olimpik selepas masing-masing tidak berjaya layak secara automatik sebelum ini.
Muhammad Azeem yang turun dengan misi untuk muncul juara selain perlu mencatat 10.20 saat (s) bagi melonjakkan rankingnya terpaksa akur apabila sekadar meraih tempat ketiga dengan catatan 10.37s pada aksi final di Pusat Latihan Olimpik Almaty.
Tempat pertama diraih jaguh pecut Thailand Puripol Boonson dengan catatan 10.23s diikuti Kayhan Ozer dari Turkiye yang meraih perak menerusi catatan 10.25s.
Dalam pada itu Shereen muncul juara saingan 400m dengan catatan 52.60s meninggalkan atlet tuan rumah Anna Shumilo (56.01s) dan Milana Zubareva (57.80s), namun gagal dalam misi memecahkan rekod kebangsaan 51.79s miliknya.
Muhammad Azeem perlu menembusi kelompok 56 sementara Shereen 48 pelumba terbaik dalam kemas kini ranking kelayakan Olimpik yang dijangka diumum esok.
Sementara itu Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert J Ballard menyifatkan kedua-dua pelari pecut negara telah mempamerkan semangat juang yang tinggi bagi melayakkan diri secara merit ke Paris.
"Malangnya kedua-dua mereka tidak dapat melayakkan diri secara terus ke Sukan Olimpik Paris. Tetapi perlu difahami dianggarkan hanya 30 atlet di dunia setakat ini memenuhi kriteria secara merit dalam acara masing-masing," katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA