Muhammad Azeem raih tempat kelima di Cali

Sinar Harian
Ogos 3, 2022 09:15 MYT
Muhammad Azeem (kiri sekali), cuba memberikan saingan kepada pelumba lain pada acara 100m berkenaan. - Foto Sinar Harian
HASRAT peminat sukan negara untuk menyaksikan pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi melakar kejayaan pada aksi final 100 meter (m) pada Kejohanan Remaja Dunia 2022, tidak kesampaian apabila atlet berusia 18 tahun itu menamatkan acara berkenaan pada kedudukan kelima, awal pagi tadi.
Setelah memenangi acara saringan dengan catatan 10.09 saat pada awal pagi Selasa dan menamatkan saingan separuh akhir pada kedudukan kedua dengan catatan 10.19 saat (s) sebelum itu, atlet kelahiran Ipoh Perak itu dililhat berpeluang mencatatkan keputusan positif pada acara final berkenaan.
Bagaimanapun, setelah dilihat cuba memberikan saingan pada peringkat awal perlumbaan, Muhammad Azeem akhirnya menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelima dengan catatan masa 10.14s yang sekali gus memperbaiki catatan yang dilakukannya pada peringkat separuh akhir sebelum itu.
Menepati ramalan, acara 100 meter itu dimenangi atlet Botswana, Letsile Tebogo dengan catatan masa 9.91s yang juga merupakan rekod baharu kejohanan berkenaan.
Atlet Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie memenangi tempat kedua dengan catatan, 10.02s manakala tempat ketiga dimenangi atlet Afrika Selatan, Benjamin Richardson yang melakukan 10.12s dan tempat keempat menjadi milik atlet sensasi Thailand, Puripol Boonson dengan catatan 10.12s.
Untuk rekod, Muhammad Azeem mencipta sensasi tersendiri pada Selasa apabila memenangi avara saringan dengan catatan 10.09s yang sekali gus memecahkan rekod kebangsaan milik atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dicatatkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak, 2016 lalu. - Sinar Harian
#Muhammad Azeem Fahmi #Kejohanan Remaja Dunia 2022 #pelari pecut #100 meter
;