Muhammad Azeem mampu catat 6.50 saat - Nazmizan

Bernama
Februari 13, 2023 14:33 MYT
Nazmizan (kanan) menyifatkan Muhammad Azeem bertuah kerana penyertaannya dalam kejohanan di Amerika Syarikat dapat membantunya meningkatkan prestasi larian. - Instagram
KUALA LUMPUR: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berada dalam landasan tepat untuk merekodkan masa 6.50 saat (s) bagi acara 60 meter (m) pada masa depan.
Keyakinan itu diungkapkan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berdasarkan momentum dimiliki jaguh pecut berusia 18 tahun itu yang mempamerkan larian menakjubkan dengan catatan 6.62s pada kejohanan Tiger Paw Invitational, Jumaat lepas sekali gus memecahkan rekod kebangsaannya sendiri.
Saingan final di Universiti Clemson, South Carolina itu menyaksikan Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat 6.62s menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 6.63s pada kejohanan 2023 Texas Tech Open, bulan lepas.
Nazmizan berkata atlet dari Perak itu boleh dianggap bertuah kerana penyertaannya dalam banyak kejohanan di Amerika Syarikat secara tidak langsung dapat membantunya meningkatkan prestasi larian.
"Saya tak terkejut (catatan 6.50s) kerana Muhammad Azeem dah ada momentum serta tahap keyakinannya semakin tinggi selepas pecah rekod kebangsaan dalam masa dua minggu di Amerika Syarikat.
"Di Amerika Syarikat, sistem pertandingan mereka banyak dan hampir setiap minggu ada, jadi ini peluangnya untuk perbaiki kelemahan dan gilap lariannya lebih baik lagi," katanya kepada Bernama.
Memandangkan Muhammad Azeem telah menghasilkan pencapaian membanggakan baru-baru ini, Nazmizan berkata semua peminat sukan tanah air pastinya ternanti-nanti sama ada juara Sukan Malaysia ke-20 itu mampu memecahkan rekod kebangsaan 100m miliknya sendiri selepas ini.
Bagaimanapun, pensyarah di Universiti Malaysia Perlis itu berharap agar semua pihak tidak meletakkan tekanan tinggi kepada Muhammad Azeem dan sebaliknya menuntut mereka memberi kepercayaan penuh kepada pelari tersebut dalam usahanya mencipta nama dalam acara pecut di peringkat dunia.
"Untuk pecah rekod kebangsaan, kita jangan bagi tekanan dan biar beliau tentukan. Beliau akan duduk dalam tempoh lama di US namun jika berjaya pecah rekod kebangsaan 100m pada tahun pertamanya di sana saya anggap sebagai pencapaian luar biasa baginya," katanya.
Ogos lepas, Muhammad Azeem memecahkan rekod kebangsaan 100m milik juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan dengan 10.18s menerusi catatan 10.09s ketika mengungguli saringan lapan, pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.
Juara Sukan SEA 2003 itu pada masa sama optimis sentuhan ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Auburn, Leroy Burrell selain pengalaman bersaing bersama pelari handal di negara 'Uncle Sam' itu mampu melonjakkan prestasi Muhammad Azeem tidak lama lagi.
"Saya harap Muhammad Azeem dapat kekalkan momentum, jaga disiplin, nikmati perlumbaan dan fokus menjadi pelari Malaysia pertama melakukan catatan di bawah 10s," katanya.
Muhammad Azeem tiba di Universiti Auburn di Alabama pada 4 Jan lepas, untuk melanjutkan pelajaran sambil menjalani latihan di sana.
-- BERNAMA
#Muhammad Azeem Fahmi #pelari pecut #prestasi larian #Nazmizan Muhammad
;