Muhammad Azeem kempunan ke pentas akhir 60m NCAA

Bernama
Mac 15, 2025 10:50 MYT
Azeem menamatkan saingan saringan kedua pusingan awal dengan catatan 6.61 saat (s) untuk berada dalam kedudukan ke-13 dairpada 16 pelumba. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hasrat pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk ke pentas akhir saingan 60 meter (m) tidak kesampaian, selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Menurut laman sesawang kejohanan, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu menamatkan saingan saringan kedua pusingan awal dengan catatan 6.61 saat (s) untuk berada dalam kedudukan ke-13 dairpada 16 pelumba.
Hanya lapan pelumba terbaik daripada dua saringan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu waktu tempatan (Ahad waktu Malaysia).
Terdahulu, pelumba berusia 20 tahun itu kembali dengan prestasi terbaik apabila memadam rekod 60m kebangsaan dengan catatan 6.56s ketika merangkul pingat gangsa Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025, awal bulan ini.
Catatan itu memadam rekod lama miliknya, 6.60s yang dilakukan dalam tempoh kurang sebulan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, AS sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelari terbaik Universiti Auburn.

ABSOLUTELY UNREAL Kayinsola Ajayi breaks the school record in the 60m prelims, finishing third overall with the fourth fastest time in the world this year (6.48) #WarEagle pic.twitter.com/hSRNyuvYeM

— Auburn Track & Field (@AuburnTFXC) March 14, 2025
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard ketika dihubungi berkata pencapaian melangkah ke kejohanan besar seperti NCAA satu petanda positif buat pelumba kelahiran Teluk Intan, Perak itu.
"Beliau telah lakukan yang terbaik untuk mara ke final NCAA. Berlari dengan catatan 6.61s dalam acara utama adalah petanda positif untuk masa depan. Muhammad Azeem hanya ketinggalan 5/100 saat daripada kelompok lapan pelari terbaik," katanya.
-- BERNAMA
#Muhammad Azeem Fahmi #NCAA #Amerika Syarikat #Olahraga Dalam Dewan
;