Muhammad Azeem harap dapat tiket 'wild card' ke Budapest
Bernama
Julai 24, 2023 20:30 MYT
Julai 24, 2023 20:30 MYT
PUTRAJAYA: Pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berharap dapat memperoleh tiket wild card bagi membuat penampilan sulung pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary, dari 19 hingga 27 Ogos ini.
Beliau berkata berdasarkan ranking terkini 100 meter (m) lelaki Olahraga Dunia, beliau merupakan atlet balapan negara yang menghuni kedudukan tertinggi meskipun berada di tempat ke-90 secara keseluruhan dengan 1,186 mata.
"Kejohanan Olahraga Dunia merupakan kejohanan besar, jadi saya harap sekiranya dapat beraksi di sana nanti akan bantu mantapkan persediaan saya menjelang Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China (23 Sept-8 Okt).
"Jika diberi peluang beraksi di kejohanan di Budapest itu saya mahu beraksi sehabis baik untuk bersaing bersama pelari pecut dunia lain," katanya kepada pemberita selepas sesi 'meet & greet' bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta juara 400m lelaki Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Umar Osman.
Tarikh tutup ditetapkan Olahraga Dunia bagi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyerahkan nama atlet beraksi pada kejohanan berprestij di Budapest itu pada 31 Julai ini.
Pemegang rekod kebangsaan acara reben biru dengan catatan 10.09 saat (s) itu juga mengimpikan untuk berlari dalam lingkungan 10.15s dan ke bawah pada kejohanan itu.
Muhammad Azeem, yang juga pelajar di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, berkata beliau akan kembali ke negara Uncle Sam itu pada 31 Julai bagi menjalani persiapan rapi sebelum ke Kejohanan Olahraga Dunia.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dalam memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pelantikan jurulatih pada masa depan.
"Apa yang penting jurulatih perlu ada sijil, seorang yang bertauliah dan kenal pasti adakah laporan polis pernah dibuat ke atas jurulatih tersebut sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden gangguan seksual membabitkan sukan dodgeball yang mangsanya melibatkan murid sekolah rendah baru-baru ini.
-- BERNAMA