Muhammad Azeem dijangka ke Sukan SEA Thailand - Ballard
Bernama
Mac 7, 2025 13:30 MYT
Mac 7, 2025 13:30 MYT
Azeem memulakan musim ini dengan cemerlang apabila mencatat rekod kebangsaan baharu bagi acara 60m dalam dewan dengan 6.56s untuk meraih pingat gangsa di Kejohanan SEC Indoor Track and Field 2025, pada Ahad. - Foto Astro ARENA
KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dijangka bertanding di temasya Sukan SEA Thailand pada Disember ini, kata Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard.
Beliau berkata selain temasya dwitahunan, atlet berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu juga akan menyertai beberapa kejohanan seperti Sukan Universiti Dunia di Jerman pada Julai dan Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada September.
"Kami sangat berharap (Muhammad Azeem akan bertanding di Sukan SEA). Tapi ia bergantung kepada jadual pengajiannya di AS.
"Saya juga telah berbincang dengan jurulatih beliau. Kami amat teruja dengan rekod kebangsaan baharu dan apa boleh dicapai pada musim ini," katanya baru-baru ini.
Muhammad Azeem memulakan musim ini dengan cemerlang apabila mencatatkan rekod kebangsaan baharu bagi acara 60 meter (m) dalam dewan dengan 6.56 saat (s) untuk meraih pingat gangsa di Kejohanan SEC Indoor Track and Field 2025, pada Ahad lepas.
Pencapaian itu melayakkan beliau ke Kejohanan NCAA di AS pada 14 hingga 15 Mac ini.
Untuk rekod, Muhammad Azeem membuat penampilan pertamanya di Sukan SEA 2021 di Vietnam namun tidak menyertai Sukan SEA 2023 di Kemboja bagi memberi tumpuan kepada latihan dan pertandingan di AS.
-- BERNAMA