Muhammad Ali yang saya kenali
Bernama
Jun 19, 2016 14:58 MYT
Jun 19, 2016 14:58 MYT
Anda tidak akan tahu siapa Muhammad Ali sebenarnya sehinggalah anda berjumpa dengan juara tinju heavyweight paling hebat itu yang meninggal dunia pada 3 Jun semasa berusia 74 tahun.
Sebelum pertemuan pada 16 Jun 1975 di sini, saya tidak berapa menyukai beliau. Saya membesar dengan menyaksikan beliau beraksi dan mendapati beliau seorang yang suka bertindak terburu-buru dan suka bercakap besar.
Namun, kesemua pandangan itu sudah tidak wujud lagi. Pada awal pagi hari itu, saya baru sahaja menyelesaikan larian 3 kilometer dengan Ali di trek Kelab Lumba Kuda Selangor di Jalan Ampang, di mana berdirinya menara kembar tertinggi di dunia pada masa ini.
Selepas larian yang melelahkan itu, saya memutuskan untuk menumpang limosin Ali, sebuah Lincoln Continental, pulang ke hotel Kuala Lumpur Hilton di Jalan Sultan Ismail. Saya duduk di tempat duduk belakang dengan Ali namun secara tiba-tiba seorang pengawal keselamatan datang lalu menyuruh saya keluar.
Ali dengan segera memaklumkan pengawal keselamatan itu : Dia saudara saya dan dia datang dengan saya".
Itulah dia dan ia adalah satu tindakan yang baik. Tindakan itu lah yang mengubah sikap saya terhadap beliau.
Malah saya menjadi "pengikut Ali" mulai daripada hari itu.
Ya kawan-kawan, anda tidak dapat mengenali Ali sehingga anda berjumpa dengannya. Beliau adalah seorang yang sangat luar biasa yang memancarkan personaliti yang hebat. Saya masih tidak percaya beliau boleh begitu berbeza daripada semua aspek negatif yang telah saya baca mengenai beliau selama ini.
Sekiranya saya tidak merancang untuk melakukan larian ini dengannya, sudah pasti saya tidak akan mengetahui betapa beliau mempunyai peribadi yang begitu mengagumkan.
Pada waktu itu, saya seorang wartawan sukan dengan akhbar The Star dan saya mahu melakukan sesuatu di mana tidak ada wartawan sukan lain, yang berkumpul di Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan antara Ali dan Joe Bugner, akan terfikir sedemikian bagi melakukannya.
Selepas itu, pengurusnya Angelo Dundee, yang membantu menguruskan pertemuan dengan Ali memberitahu saya ini adalah kali pertama dan tidak ada wartawan menawarkan diri untuk menulis cerita sedemikian.
Berlari dengan Ali adalah bahagian yang mudah. Untuk berada di venue pada masa yang tepat itu adalah bahagian paling sukar. Ali tidak mempunyai jadual tetap untuk sesi "larian" beliau. Kadang-kadang pukul 2 pagi, dan ada kalanya boleh melarat kepada 3 petang.
Jadi, saya dan jurugambar The Star, Tham Choon Fatt pergi ke trek berkenaan pukul 3 pagi pada 15 Jun dan terlepas menemui Ali hampir sejam.
Hari berikutnya, kami memutuskan berada di kelab Lumba Kuda Selangor pada 2 pagi dan Ali tiba dua jam kemudian. Saya mendapat berita saya.
Saya pasti adalah wartawan sukan tempatan pertama paling bertuah bukan setakat berpeluang mendapat berita eksklusif berlari dengan Ali malah dapat bercakap dengannya tanpa media lain.
Sebelum tiba di hotel, beliau mempelawa saya untuk datang kemudian ke suite Presiden di tingkat 25 KL Hilton. Saya menerimanya tanpa berkelip kelopak mata saya kerana di sini adalah Ali, superstar mega dan saya tidak akan melepaskan peluang sekali dalam seumur hidup untuk "scoop".
Dalam pertemuan di suite beliau, saya fikir ia sepatutnya menjadi perkara sekali sahaja tetapi ternyata sebaliknya. Saya pergi untuk berinteraksi dengan beliau untuk tiga hari berikutnya.
Tidak seperti atlet lain, di mana anda perlu membuat temu janji untuk mengadakan temu bual, namun tidak begitu dengan Ali.
Saya dapati beliau begitu mudah. Beliau tidak bersifat mendominasi atau menguasai orang lain sama sekali. Malah saya dapati Ali sangat baik, sangat bersopan santun dan kuat beragama, anggun, menawan, sangat merendah diri dan beliau mempunyai karisma.
Ada kadang kalanya apabila beliau bercakap, anda terpaksa memasang telinga anda untuk mendengar apa yang dikatakannya.
Sekarang apabila saya menoleh ke belakang, sekiranya pada masa itu ada telefon pintar, sudah pasti saya mempunyai begitu banyak perkara yang hendak direkodkan dan dirakamkan.
Bagaimanapun selepas pertemuan hari pertama, pada hari-hari berikutnya, saya membawa bersama-sama perakam kaset jenama National saya. Saya tidak mahu terlepas daripada apa sahaja yang hendak diperkatakan oleh Ali.
Hari ini, saya masih mempunyai pita kaset itu dengan beberapa puisi yang dibacakan Ali kepada saya dalam pertemuan kami.
Saya mempunyai banyak gambar-gambar, sebahagian daripadanya ditandatangani oleh Ali dan sepasang sarung tangan untuk latihan. Pita kaset dengan rakaman Ali dan puisi itu akan menjadi bahan "memorabilia Ali" yang jarang ditemukan dalam simpanan saya.
Tidak syak lagi, beliau bukan sahaja personaliti sukan terhebat dan paling berkarisma di zaman ini, beliau adalah seorang manusia yang luar biasa. - Oleh George Das (bekas wartawan sukan)