Muay Thai wajar dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017
Bernama
Mac 19, 2016 07:39 MYT
Mac 19, 2016 07:39 MYT
Persatuan Muay Perak mencadangkan acara Muay Thai dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan setiap edisi Sukan Malaysia (SUKMA).
Presidennya Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata ini kerana sukan itu semakin menarik minat bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga antarabangsa.
Selain itu, Raja Ahmad Zainuddin juga berkata sukan itu perlu diajar di peringkat sekolah bagi menarik minat golongan muda.
"Pendedahan di peringkat sekolah akan menjadikan sukan ini pilihan pelajar untuk seni mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di sini selepas menyambut Iskandar Zulqarnain Mohamad Ezry A'Zamin yang menjuarai Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Muay Thai Peringkat Dunia di Bangkok, Thailand, minggu ini.
Iskandar Zulqarnain melakar sejarah apabila mengungguli kategori bawah 12 tahun selepas menundukkan peserta tuan rumah, Tannapon Pennikorn di perlawanan akhir pada Selasa lepas.
Raja Ahmad Zainuddin berkata sebagai usaha menarik minat orang ramai khususnya golongan muda menyertai sukan itu, pihaknya akan membina gelanggang dan pusat latihan Muay Thai di sini tidak lama lagi.
Sementara itu, Iskandar Zulqarnain ketika ditemui menyatakan hasrat untuk menjadi seorang peninju Muay Thai profesional satu hari nanti.
Menurut murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Changkat Jering, Bukit Gantang di sini, beliau akan berehat buat sementara waktu kerana mahu memberi tumpuan kepada peperiksan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan dihadapinya tahun ini.