Muay Thai Perak giat jalani latihan intensif hadapi SUKMA 2024
Bernama
Januari 4, 2024 09:15 MYT
Januari 4, 2024 09:15 MYT
IPOH: Pasukan Muay Thai Perak yang dibarisi jaguh bertaraf dunia nampaknya tidak berdepan masalah untuk terus menggenggam kilauan emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung 17 hingga 24 Ogos depan.
Giat menjalani latihan intensif termasuk perlawanan peringkat antarabangsa sebagai persiapan menghadapi temasya itu, ketua jurulatih Bernard Radin berkata pasukannya tidak menghadapi sebarang masalah malah berada di landasan tepat dan berjalan seperti yang dirancang.
Menurutnya sepanjang tahun lepas sahaja pihaknya telah menganjurkan dua kejohanan Muay Thai di Ipoh pada Ogos bersama pasukan dari Thailand dan Disember lepas bersama pasukan dari Indonesia bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta kompetensi atlet.
"Kami mahu menghasilkan atlet bertaraf dunia serta mencapai tahap prestasi unggul jadi pendedahan dalam pertandingan dengan atlet dari luar negara memainkan peranan yang penting.
"Kami baru pulang dari Koh Sa Mui, Thailand minggu lalu selepas menyertai satu kejohanan yang menjadi antara medan untuk menilai tahap prestasi atlet Muay Thai Perak dan ada beberapa lagi siri pertandingan sebelum persiapan terakhir selesai kelak," katanya ditemui Bernama ketika sesi latihan bersama atlet Muay Thai Perak di sini, semalam.
Bernard ketika ditanya mengenai sasaran pingat emas pada temasya edisi ke-21 itu berkata pihaknya menyerahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
"SUKMA di Perak sasaran dua pingat emas namun kami berjaya dapatkan lebih untuk kontinjen Perak begitu juga di Kuala Lumpur sasar tiga emas namun kami berjaya raih empat emas, satu perak dan dua gangsa membabitkan lapan peserta.
"Jika ikutkan prestasi terkini skuad Muay Thai Perak semua atlet kami berada pada tahap terbaik dan kami tunggu apa yang ditetapkan oleh MSN nanti, mungkin akan ada perubahan yang akan dilakukan bergantung kepada kategori masing-masing untuk pastikan atlet yang dihantar akan menghasilkan pingat, " katanya.
Pihaknya berkemungkinan akan menghantar tujuh atau lapan atlet pada temasya SUKMA 2024 termasuk beberapa atlet baharu untuk kejohanan itu.
"Kontinjen Muay Thai Perak diketuai juara dunia tiga kali, Mohammad Rifdean Masdor serta seorang lagi juara dunia, Nur Amisha Azrilrizal.
"Turut berada dalam skuad, Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli (Jebat), Raja Izzati Raja Annuar dan Muhammad Amirul Adli Sali Meha (Deli)," katanya.
Muay Thai disenarai oleh tuan rumah, Sarawak sebagai antara empat jenis sukan tambahan selain tinju, petanque dan sukan elektronik (E-Sports) bagi temasya SUKMA 2024 di samping 28 sukan wajib lain.
-- BERNAMA