Muay Thai: Mohd Rifdean raih kemenangan kedua, tumbangkan Petaek dengan TKO

Bernama
Julai 20, 2024 18:45 MYT
Mohd Rifdean meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan lawannya dari Thailand, Petaek Sitbigjasskonrakpathum. - Gambar/ IG mohdrifdean_masdor
BANGKOK: Atlet Muay Thai negara Mohd Rifdean Masdor meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan lawannya dari Thailand, Petaek Sitbigjasskonrakpathum menerusi Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 71, semalam.
Atlet berusia 21 tahun dari Sarawak yang mewakili pasukan Sor Sommai berpangkalan di Bangkok, Thailand berkata beliau sangat gembira kerana keluarga dan kawan-kawan dari Malaysia turut hadir memberikan sokongan di gelanggang pertandingan.
"Saya sangan gembira kerana tidak rasa sebarang tekanan dan hanya melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu. Dengan izin Tuhan, saya meraih kemenangan kedua.
"Ini adalah impian saya untuk mendapatkan kontrak berprestij ONE Championship bernilai US$100,000 dan tali pinggang yang diidamkan," katanya kepada Bernama.
Mohd Rifdean membawa pulang bonus sebanyak 350,000 (RM58,055) turut mengucapkan penghargaan buat jurulatihnya Bernard Radin, Kerajaan Negeri Perak dan Persatuan Muay Thai yang membantu dalam perkembangan sukannya.
"Saya berlatih bersungguh-sungguh dan mengekalkan disiplin untuk layak mendapat kontrak ONE. Saya terus bersedia untuk pertarungan seterusnya," katanya.
Sebagai rekod, Mohd Rifdean mencatat kemenangan TKO menundukkan lawannya dari Thailand, Pichai Lookbanmai dalam pertarungan ONE Friday Fights 56.
-- BERNAMA
#Muay Thai #ONE Championship #Mohd Rifdean Masdor #ONE Friday Fights
;