Muay Thai Duo Antarabangsa: Putra Abdullah janji tampil aksi garang di gelanggang
Bernama
Februari 7, 2025 16:53 MYT
Februari 7, 2025 16:53 MYT
Putra Abdullah bakal berdepan cabaran getir menentang petinju berpengalaman dari Terengganu Sabri Thaivisih dalam kategori 62kg. - Bernama
BACHOK: Atlet Muay Thai negara Putra Abdullah Mahmoud bertekad untuk menampilkan aksi bertenaga pada Pertarungan Muay Thai Duo Antarabangsa 2025 di Padang Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubur Besar di sini malam esok.
Putra Abdullah, 20, yang terkenal dengan kombinasi serangan lutut dan siku yang agresif bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir menentang petinju berpengalaman dari Terengganu Sabri Thaivisih dalam kategori 62 kilogram (kg).
Bintang muda yang pernah mencipta nama dalam pelbagai kejohanan itu mengakui teruja untuk kembali beraksi di negeri kelahirannya.
"Sudah lama saya tidak bertarung di sini (Kelantan), saya rindukan suasana pertarungan di tanah air sendiri. Saya akan berikan aksi terbaik malam esok," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata setiap lawan di dalam gelanggang bukan mudah untuk ditundukkan, terutamanya Sabri Thaivisih yang mempunyai pengalaman luas dalam Muay Thai.
"Saya sudah melakukan persiapan rapi termasuk latihan intensif sebelum datang ke Kelantan. Saya bersedia untuk bertarung habis-habisan," katanya.
Sementara itu, penaja kejohanan Wan Afiq Amirul Wan Roslan berkata selain Putra Abdullah, tumpuan juga terarah kepada Jordan Boy, yang bakal bertarung dengan petinju dari Kelantan Paid GC Terbo dalam kategori 73kg.
"Kejohanan ini mempertandingkan tujuh regu, dengan 14 petinju profesional akan mempamerkan kehebatan teknik dan ketangkasan dalam seni bela diri Muay Thai.
"Selepas hampir dua tahun tanpa kejohanan Muay Thai bertaraf antarabangsa di Kelantan, ini adalah platform terbaik untuk menghidupkan semula semangat sukan ini di negeri ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Wan Afiq Amirul berkata penganjuran kejohanan ini juga sebagai langkah memperkukuh status Kelantan sebagai 'lubuk' pencarian bakat baharu dalam sukan Muay Thai.
"Kami tahu ramai anak muda Kelantan berbakat besar dalam sukan ini. Dengan adanya kejohanan seperti ini, mereka dapat menimba pengalaman dan berpeluang melangkah ke peringkat lebih tinggi," katanya.
-- BERNAMA