MU terpaksa lupakan khidmat Eriksen sehingga lewat April

Bernama
Januari 31, 2023 04:20 MYT
Eriksen sudah 31 kali diturunkan pada musim ini bersama MU dan menjaringkan dua gol selain melakukan sembilan gerakan membantu pemain lain pasukannya menjaringkan gol. - Foto fail
ANKARA: Pemain tengah Manchester United (MU), Christian Eriksen dijangka akan berehat panjang disebabkan kecederaan buku lali, umum Kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Selasa.
"Eriksen dijangka tidak dapat beraksi untuk tempoh panjang disebabkan kecederaan yang dialaminya ketika pasukan mengatasi Reading dalam kancah Piala FA pada Sabtu.
"Meskipun pemeriksaan masih diteruskan, penilaian awal menunjukkan Eriksen kemungkinan tidak akan dapat beraksi sehingga lewat April atau awal Mei.
"Bagaimanapun, masih ada harapan Christian Eriksen akan dapat beraksi pada hujung musim," menurut kelab itu," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Manchester United.
Eriksen, 30, sudah 31 kali diturunkan pada musim ini bersama MU dan menjaringkan dua gol selain melakukan sembilan gerakan membantu pemain lain pasukannya menjaringkan gol.
Pemain antarabangsa Denmark itu tiba di Old Trafford pada Julai lalu.
Beliau yang sebelum ini beraksi bersama Ajax, Tottenham Hotspur, Inter Milan dan Brentford, menandangani kontrak selama tiga tahun bersama MU bermula pada musim panas 2022.
-- BERNAMA
#MU #Manchester United #Christian Eriksen #kecederaan
;