MSN yakin dengan skuad berbasikal lebuh raya negara

Astro Arena
Januari 26, 2016 20:00 MYT
Program lebuh raya masih di peringkat awal untuk hadapi temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail tidak gusar dengan prestasi hambar yang dipamerkan skuad berbasikal lebuh raya negara.
Skuad lebuh raya negara yang disertai Fauzan Ahmad Lutfi, Shahrul Mat Amin, Nik Azwan Zulkiflie serta Nur Amirull Fakhruddin Mazuki gagal menyerlah di Kejohanan Berbasikal Asia, ACC Oshima Jepun.
Mereka tidak mampu menamatkan perlumbaan dalam acara lepas beramai-ramai sejauh 119 kilometer pada Ahad.
Kem negara juga kecewa apabila masalah teknikal yang dialami mengakibatkan mereka gagal dalam ujian masa individu.
Namun Shapawi tegaskan program lebuh raya masih di peringkat awal untuk hadapi temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.
"Ini merupakan satu platform untuk kita mencari, mengenal pasti pemain-pemain, pelumba-pelumba basikal yang akan menganggotai pasukan lebuh raya negara bagi fasa kedua program kita juara ke arah Sukan SEA.
"Jadi ini adalah satu proses penilaian dan juga pendedahan kepada pemain-pemain, pelumba-pelumba basikal lebuh raya," ujarnya.
Tambah Shapawi lagi, fasa kedua program kita juara bermula September nanti akan menyaksikan satu skuad lebuh raya yang khusus akan dibentuk.
Pada waktu itu MSN akan buat penilaian sama ada ingin menghantar mereka jalani sesi latihan di luar negara atau sebaliknya.
"Kita akan rancangkan program yang khusus kepada pelumba yang kita kenal pasti. Buat masa ini kita ada program berfasa, latihan berfasa di bawah kendalian PKBM sendiri dan kita bantu program-program tersebut dalam mengenal pasti pelumba yang akan menjadi tonggak pelumba lebuh raya di Sukan SEA 2017.
#Ahmad Shapawi Ismail #Majlis Sukan Negara #MSN #pelumba basikal #Sukan SEA
;