MSN tidak bimbang prestasi semasa atlet negara pada Sukan Asia 2018
Bernama
Ogos 22, 2018 18:12 MYT
Ogos 22, 2018 18:12 MYT
Majlis Sukan Negara (MSN) tidak begitu bimbang dengan prestasi hambar ditampilkan atlet negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung di Indonesia, ketika ini.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata walaupun skuad wusyu menamatkan saingan tanpa sebarang pingat hari ini, beliau yakin beberapa sukan lain mampu menghadirkan kilauan pingat untuk kontinjen negara pada edisi ke-18 Sukan Asia.
Malaysia sekadar meraih satu pingat gangsa setakat ini menerusi atlet taekwando negara, Yap Khim Wen dalam acara Poomsae individu wanita, 19 Ogos lepas.
"Secara keseluruhannya, kita agak runsing dengan beberapa prestasi sukan yang bukan disasarkan pingat emas seperti sukan wusyu yang sebenarnya disasarkan meraih satu perak dan dua gangsa, tetapi malangnya, mereka gagal menyumbang sebarang pingat,
"Walaupun kita agak risau namun momentum atlet negara berada pada landasan yang betul seperti sukan sepak takraw dan bola sepak memberi kita sedikit keyakinan bahawa Insya-Allah, atlet akan melakukan yang terbaik untuk negara," katanya.
Ahmad Shapawi berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi menjelaskan kontinjen negara mampu meraih pingat emas dalam beberapa acara seperti berbasikal trek, tenping boling dan karate sekiranya ia dipertandingkan lebih awal pada saingan Sukan Asia kali ini.
"Kalau acara-acara seperti ini diadakan lebih lambat, maka kita harus menunggu, jadi sebaiknya kita tunggu acara ini dipertandingkan terlebih dahulu dan kita terus doakan agar atlet-atlet kita akan sentiasa sihat dan memberi persembahan terbaik dalam acara masing-masing," kata beliau.
Sebagai rekod, Malaysia meletakkan sasaran tujuh pingat emas pada saingan Sukan Asia kali ini.
-- BERNAMA
#Ahmad Shapawi
#atlet negara
#Jakarta-Palembang
#ketua pengarah MSN
#kontinjen negara
#Majlis Sukan Negara
#MSN
#prestasi atlet
#Sukan Asia