MSN teliti pelaksanaan caruman KWSP, Perkeso untuk atlet

Bernama
November 21, 2023 21:24 MYT
Hannah berkata perkara itu diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet diluluskan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti pelaksanaan caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk semua atlet negara bermula Januari tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata perkara itu diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet diluluskan.
"Ini merupakan satu langkah 'game changer' yang dilaksanakan kerajaan kerana sebelum ini tidak ada dilaksanakan sebarang program yang membolehkan atlet negara dapat KWSP dan Perkeso," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai kemelut antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias, Hannah berkata pihaknya telah meminta Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu untuk mengadakan perbincangan bersama kedua-dua badan sukan itu dalam masa yang terdekat.
"Tidak dapat dinafikan dua badan (MOM dan PJS) ini amat penting. MOM cukup penting dari segi pembangunan sukan Malaysia manakala PJS juga memainkan peranan penting sebagai pentadbir untuk Akta Pembangunan Sukan," katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman audio Suhardi yang mengugut untuk membatalkan pendaftaran MOM pada 14 Nov lepas, diikuti Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pula mengeluarkan kenyataan menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataan dibuatnya disifatkan melampaui batas.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,124,555,600 yang diperuntukkan kepada KBS dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 20 Ahli Parlimen.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dalam penggulungannya berkata sejak 2011, TalentCorp melalui Program Kepulangan Pakar (Returning Expert Programme) telah menerima lebih 10,000 permohonan daripada golongan profesional Malaysia atau diaspora menetap di luar negara untuk kembali ke tanah air.
Beliau berkata ini melibatkan purata permohonan konsisten antara 400 hingga 500 setahun, dengan lebih 6,000 pakar telah diluluskan di bawah inisiatif REP.
"Menyedari perkembangan globalisasi dengan perbincangan brain drain kini telah berevolusi kepada brain circulation, usaha TalentCorp melibatkan diaspora kini melangkaui kepada usaha untuk memudah cara kepulangan mereka kepada mengoptimumkan sumbangan walau di mana mereka berada," katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,467,578,900 yang diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Manusia dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 17 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA
#KWSP #perkeso #Atlet Kebangsaan #Belanjawan 2024
;