MSN optimis Pandelela, Dhabitah bakal tandatangan kontrak
Astro Arena
Februari 27, 2019 06:00 MYT
Februari 27, 2019 06:00 MYT
Majlis Sukan Negara (MSN) yakin penerjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, akan menandatangani kontrak Sistem Tier minggu depan selepas beberapa terma diubah bagi memuaskan hati kedua-dua pihak.
Isu kelewatan Pandelela dan Dhabitah menandatangani kontrak dijangka selesai minggu depan dan MSN sudah merujuk peguam mengenai perubahan terma kontrak selain mengadakan perbincangan dengan pengurus penerjun terbabit.
Ia penting bagi memastikan kedua-dua belah pihak berpuas hati, sekali gus mengelak sebarang isu berbangkit.
"MSN sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan mereka dan dalam masa sama mahu memastikan prestasi mereka tidak terjejas.
"Sebab itu kami sentiasa ingin mengambil pendekatan duduk berbincang dan mengetengahkan apa-apa perkara demi menambah baik dan mendapatkan persetujuan bersama," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefry Ngadirin.
Setakat ini, seramai 501 atlet sudah menandatangani kontrak Sistem Tier, termasuk jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, dan berbasikal trek, Azizulhasni Awang.
Jika atlet menolak tawaran kontrak, mereka perlu bergerak secara profesional.
"Mereka akan berada dalam program persatuan sukan kebangsaan dan pihak persatuan perlu bertanggungjawab untuk memastikan keperluan atlet dijaga. Apabila mempunyai kontrak bersama MSN, kami akan menjaga kebajikan atlet tersebut," tambah Jefry.
Sementara itu, bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, menyarankan agar Pandelela dan Dhabitah segera mengikat kontrak kerana sukan itu belum sedia menampung atlet profesional.
"Saya rasa perkara ini agak sukar kerana terjun tidak seperti badminton. Pertandingan luar untuk badminton lebih banyak jika dibandingkan dengan terjun. Jadi, untuk bergerak secara profesional, mungkin penerjun perlu melalui persatuan terlebih dahulu," ujarnya.
"Ia membuatkannya menjadi sukar jika atlet terjun bergerak secara profesional. MSN juga telah banyak membantu atlet sebelum ini, jadi kontrak itu mungkin paling baik buat kedua-dua pihak."