MSN nafi pencapaian Shereen dipandang sepi
Bernama
Mac 18, 2022 15:14 MYT
Mac 18, 2022 15:14 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan Presiden Yayasan Komuniti Wanita Sukan di Malaysia (FOWCUS) Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa pencapaian atlet muda berbakat negara Sheeren Samson Vallabouy dipandang sepi.
MSN dalam kenyataan memaklumkan pihaknya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengeluarkan kenyataan menghargai pencapaian Sheeren sebelum ini.
"Pihak Majlis juga sentiasa mengikuti perkembangan Sheeren di Amerika Syarikat dan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Mumtaz Jaafar sendiri telah menghubungi ibu atlet berkenaan (Josephine Mary) pada 10 Mac untuk menyenaraikannya ke Sukan SEA Vietnam.
"Ibu Sheeren memberi jaminan anaknya boleh mewakili negara ke Sukan Asia pada September kerana jadual pengajian yang tidak bertindih," menurut kenyataan itu.
Sabtu lepas, Sheeren memenangi pingat emas acara 400 meter dalam dewan pada Kejohanan US National Collegiate Athletic Association (NCAA) Division 2 di Pittsburgh State University of Kansas, Amerika Syarikat dengan catatan masa 53.79 saat (s).
Catatan itu bukan sahaja memperbaiki rekod peribadi beliau 54.94s, malah turut memecahkan rekod kebangsaan 16 tahun yang dipegang Noraseela Mohd Khalid dengan catatan 54.58s bagi acara 400m dalam dewan.
Beliau turut memecahkan rekod 12 tahun bagi Northern Sun Intercollegiate Conference.
Sementara itu, MSN menyifatkan pencapaian terbaru Sheeren membuktikan bakatnya berjaya diasah menerusi bimbingan jurulatih di universitinya dan MSN akan memberikan sokongan dan bantuan demi memastikan beliau mampu terus menghasilkan peningkatan prestasi secara konsisten.
Dalam pada itu, MSN menjelaskan Sheeren tidak disenaraikan dalam kontinjen Sukan SEA kali ini kerana jadual kejohanan di Vietnam bertindih dengan jadual peperiksaannya di Winona State University, Minnesota.
Sebagai rekod, Sheeren adalah atlet yang tersenarai dalam Program Pelapis Kebangsaan di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terpilih memasuki Program 'Kita Juara' pada 2016 sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2017.
Dibimbing oleh ibunya, Josephine Mary yang dilantik sebagai jurulatih, Sheeren disasarkan untuk memenangi pingat individu acara 400m di Sukan SEA 2017 tetapi hanya meraih pingat dalam acara 4x400m.
Sheeren kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan latihan di bawah Program Kita Juara setelah keluarganya berjaya mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajiannya di Winona State University.
-- BERNAMA