MSN nafi dakwaan tidak beri sokongan, Sazali mohon maaf
Bernama
Januari 9, 2016 21:45 MYT
Januari 9, 2016 21:45 MYT
Majlis Sukan Negara hari ini menafikan dakwaan jaguh bina badan negara, Sazali Samad bahawa badan sukan itu tidak memberi sokongan moral kepadanya selepas disahkan positif ujian doping pada 21 Dis lalu.
Sazali pada Jumaat mendakwa jasanya kepada negara seolah-olah tidak dihargai sehingga terpaksa menghadapi tekanan seorang diri tanpa sebarang bantuan moral daripada pihak berkaitan sama ada badan bukan kerajaan (NGO) atau kerajaan selepas disahkan menggunakan bahan terlarang jenis steroid pada 22 Sept lepas.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN sentiasa berada bersama Sazali sepanjang kerjayanya dan prihatin terhadap insiden yang menimpa pemegang gelaran Mr. Universe sebanyak 10 kali itu.
"Saya mahu semua tahu kes doping yang terjadi kepada Sazali adalah berbeza dengan kes jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang mana ia melibatkan dua bahan terlarang berbeza.
"Sudah pasti kedua-dua kes mempunyai implikasi perundangan yang berbeza mengikut kes masing-masing. MSN akan meneruskan sokongan kepada Sazali untuk bantu beliau dapatkan khidmat nasihat daripada ISN (Institut Sukan Negara) dan Adamas," katanya pada sidang media di MSN, hari ini.
Ahmad Shapawi berkata khidmat Sazali dalam MSN yang dipinjamkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah persediaan awal persaraan dalam perkhidmatan masih diteruskan walaupun selepas beliau didapati bersalah dan digantung sebagai atlet bina badan negara.
Beliau berkata untuk membantu Sazali, MSN telah membayar elaun latihan sebanyak RM1,500 sebulan sejak tahun 2014 sebelum dinaikkan kepada RM2,500 sebulan pada Januari tahun lepas.
Bagaimanapun, elaun sebanyak RM3,500 sebulan yang diterima Sazali sejak September tahun lepas melalui program "Kita Juara 2017" dihentikan selepas hukuman penggantungan empat tahun bermula 24 Sept oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM).
Mengulas mengenai usaha Sazali membuat rayuan bagi mengurangkan jangkamasa hukumannya selama empat tahun yang telah dikenakan oleh PBBM, Ahmad Shapawi berkata peluangnya agak tipis ekoran PBBM berkemungkinan boleh digantung oleh Persekutuan Bina Badan dan Sukan Tubuh Dunia (WBPSF) jika tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
"Steroid memang sesuatu yang sangat serius dan penggantungan selama empat tahun bukan sesuatu yang dibuat-buat oleh PBBM, itu adalah peraturan daripada WADA.
"Jika PBBM kurangkan tempoh penggantungan, mereka perlu lapor kepada badan dunia. Kalau WBPSF terima, apa kata negara lain...mereka boleh guna kes kita sebagai contoh," katanya.
Sementara itu, Sazali yang turut hadir pada sidang media itu memohon maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN dan ISN atas kenyataan yang dibuat semalam.
"Saya memohon maaf kepada (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin terutamnya, MSN, ISN dan penyokong saya atas segala isu yang timbul dan terima kasih atas segala sokongan. Saya amat terharu dengan sokongan mereka di atas insiden yang berlaku kepada saya.
"Selepas apa yang diterangkan, memang bagus. Ia adalah untuk kebaikan saya. Sokongan dan dorongan Khairy dan Shapawi dari dahulu memang ada," katanya.
Sazali berharap rayuannya kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) akan dipertimbangkan bagi membolehnya terus mewakili negara.