MSN minta usah sensasi isu Lee Peng di media sosial
Bernama
September 2, 2022 05:00 MYT
September 2, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) meminta pengguna media sosial agar tidak "mensensasikan" isu berhubung nasib dialami bekas atlet para negara, Koh Lee Peng.
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata sekiranya mereka kerap memainkan isu atau memuat naik hantaran berhubung Lee Peng di media sosial, tindakan sedemikian menunjukkan seolah-olah kerajaan mengabaikan nasib dihadapi bekas perenang kebangsaan itu.
Katanya, pelbagai cara dibuat bagi membantu Lee Peng sebelum ini namun bekas atlet itu tetap menolak bantuan diterima termasuk tawaran memasuki program keusahawanan hasil kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan MSN, khusus bagi bekas atlet yang berminat dalam sektor itu.
Ahmad Shapawi berkata pemenang tujuh pingat emas Sukan Para ASEAN (APG) itu tetap tidak berganjak daripada pendiriannya yang lebih selesa "berdiri di atas kaki sendiri" dengan bergerak menggunakan kerusi roda menjual barangan kecil dan kantung tisu di ibu negara.
"Pintu sentiasa terbuka untuk Lee Peng dan hanya menunggu masa sama ada individu berkenaan bersedia datang ke depan sertai program ditawarkan selain ikhlas mahu majukan diri dalam bidang keusahawanan," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Isu berhubung Lee Peng kembali menjadi topik bualan hangat netizen apabila seorang pendakwah terkenal memuat naik video perjumpaannya bersama atlet berkenaan, di laman Instagram baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berharap agar Lee Peng tidak lagi memakai jersi mahupun menayangkan pingat dimenangi ketika sedang berniaga.
"Pemakaian baju wira Malaysia serta kalungan pingat sememangnya tidak salah tapi tidak berapa sesuai kerana beliau telah nikmati pelbagai insentif kemenangan ketika menjadi atlet.
"Kita tak boleh paksa kerana itu haknya...ia mungkin teknik nak lariskan perniagaannya namun saya harap ada pendekatan lain yang boleh ditonjolkan Lee Peng selepas ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menyeru semua pihak untuk tidak cuba mengeksploitasi isu berkenaan demi agenda peribadi masing-masing kerana pihaknya termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN dan agensi lain sentiasa sedia menghulurkan bantuan kepada Lee Peng.
"Jangan jatuhkan martabat dan nama baik atlet negara demi kepentingan diri ataupun politik. Ia akan mencetuskan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan Keluarga Malaysia keliru dan tidak mahu memberikan sokongan padu kepada setiap atlet negara," katanya.
-- BERNAMA