MSN mahu skuad Sukan SEA 2017 beraksi dalam Liga Perdana

Astro Arena
Disember 22, 2015 07:25 MYT
Liga Perdana sebaliknya jadi pilihan utama Shapawi dan hasrat itu sudahpun di nyatakan kepada Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad beberapa hari lepas. - Gambar Fail
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail tidak bersetuju andai pasukan bola sepak negara yang membawa misi emas Sukan SEA sekadar melewati aksi kompetitif dalam saingan Liga FAM semata-mata.
Tegas Shapawi, Liga FAM bukan pilihan terbaik, apatah lagi pasukan di bawah kendalian Frank Berndhart menggalas misi negara bagi memastikan ibu emas Sukan SEA milik Malaysia bagi tempoh dua tahun dari sekarang.
Liga Perdana sebaliknya jadi pilihan utama Shapawi dan hasrat itu sudahpun dinyatakan kepada Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad beberapa hari lepas.
"Saya difahamkan bahawa agak mustahil mereka bersaing di Liga Super tetapi kami berharap FAM akan memasuki mereka dalam Liga Perdana, sekiranya mereka tetap memilih Liga FAM maka ini menjadi satu perkara yang perlu diperbincangkan semula supaya kualiti pertandingan lebih baik dapat diberi kepada skuad Sukan SEA 2017 tahun depan," katanya.
Shapawi memahami situasi ketika ini di mana Liga Malaysia ditadbir usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) namun atas dasar misi kebangsaan skuad projek ini sepatutnya diberikan keutamaan.
"Peraturan dimana pemain-pemain ini tidak boleh bersaing dalam liga perdana dibuat oleh FAM tetapi sekiranya mereka berbincang dengan pihak Exco, mungkin boleh diubah atas sebab ini adalah misi negara," tambahnya.
Jika perancangan ini gagal capai kata putus, aksi kompetitif di saingan liga Asia Tenggara seperti Thailand serta Vietnam adalah pilihan kedua selain menolak usul ke Slovakia.
Terdahulu Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad beri bayangan aksi kompetetif skuad Sukan SEA 2017 hanya di Liga FAM yang pada Shapawi adalah sesuatu yang tidak wajar dan bukan keputusan bersama.
#Ahmad Shapawi Ismail #liga FAM #Liga Perdana #Liga Super #Majlis Sukan Negara
;