MSN kenal pasti punca hilang 12 emas
Sinar Harian
Mei 20, 2023 09:30 MYT
Mei 20, 2023 09:30 MYT
MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah menggariskan beberapa faktor yang menjadi antara penyumbang kepada kegagalan kontinjen Malaysia 'kehilangan' 12 emas daripada sembilan jenis sukan pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, 12 emas berkenaan membabitkan sukan akuatik-renang, badminton, berbasikal-basikal bukit, hoki dalam dewan, kriket, judo, jujitsu, kun khmer dan sepak takraw.
"Renang kita letak sasaran tiga emas tetapi hanya meraih satu disebabkan kita terlampau bergantung kepada atlet senior yang sudah beraksi tiga hingga empat Sukan SEA.
"Jadi kita harus mendedahkan ramai atlet baharu. Kebergantungan kepada sesetengah atlet untuk menyertai banyak disiplin juga membuatkan mereka keletihan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Jalil pada Jumaat.
Jefri berkata, pihaknya turut menyedari mengenai jurang besar antara barisan pemain muda negara dengan Indonesia dalam sukan badminton.
"Kita cuba buktikan bakat baharu yang diketengahkan mampu bersaing dan bagi acara individu, ada pemain kita yang dapat mengejutkan pemain Indonesia," jelasnya.
Beliau menambah, pingat emas hoki dalam dewan lelaki yang sepatutnya mampu diraih terlepas ke tangan Indonesia - berpunca akibat kelemahan taktikal permainan.
"Bagi kriket dan judo kita sedia maklum bahawa atlet kita berada pada tahap terbaik namun pasukan tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi.
"Kriket misalnya kita ranking pertama dan hanya perlu berwaspada dengan Thailand namun kita tidak mendapat maklumat bahawa tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi.
"Ia menjejaskan peluang kita, sedangkan tuan rumah menggunakan pemain yang bagus (berkualiti) dari Pakistan dan India. Ia bukan daripada kesilapan pasukan kita sendiri," ujarnya. - Sinar Harian