MSN akan nilai semula program latihan atlet terjun

Astro Arena
Ogos 10, 2022 09:00 MYT
Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri melakukan aksi terjunan dalam acara 10M Seirama Wanita Akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Sandwell Aquatics Centre, 6 Ogos 2022. - Foto Astro ARENA
PENGARAH Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, menjelaskan bahawa satu penilaian semula terhadap program latihan penerjun negara perlu dilakukan berikutan kegagalan sukan itu mencapai sasaran satu pingat emas dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang menutup tirai pada Isnin.
Skuad terjun negara sekadar menamatkan saingan dengan pungutan tiga perak dan satu gangsa, sekali gus gagal meraih pingat emas buat kali pertama sejak edisi di Melbourne pada 2006.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Jefri berkata:
"Semestinya kami akan berbincang semula dengan pihak persatuan dan barisan jurulatih untuk memastikan penerjun-penerjun muda diberikan lebih peluang untuk diketengahkan dalam pertandingan yang lebih besar.
"Kalau kita lihat, formula yang sama telah digunakan oleh pasukan badminton dan dalam masa tiga hingga empat tahun, mereka telah berjaya menghasilkan lebih ramai pemain yang sekarang telah mampu memenangi pingat dalam Sukan Komanwel.
"Jadi, saya rasa ia perlu diberikan perhatian oleh pihak persatuan," katanya.
BACA: 10m platform: Pandelela gagal naik podium
BACA: Sukan Komanwel: Kesilapan terjunan sebab Pandelela-Nur Dhabitah tercicir gangsa
Mengulas mengenai kedudukan Datuk Pandelela Rinong, yang gagal meraih sebarang pingat dalam edisi kali ini, Jefri menambah:
"Kalau kita lihat, catatan mata yang diperoleh Pandelela dalam kejohanan dunia sudah cukup mudah untuk dia meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel tetapi dia tidak dapat mengulanginya.
"Mungkin kami akan berbincang dengan jurulatihnya kerana Pandelela masih boleh digunakan bagi persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya lagi.
#MSN #Atlet Terjun #Jefri Ngadirin #Pandelela Rinong
;