MSDeaf harap atlet pekak dapat 'layanan' sama rata - Presiden
Bernama
Julai 24, 2022 05:15 MYT
Julai 24, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berharap kerajaan memberi pengiktirafan sama rata kepada barisan atlet pekak susulan kejayaan membanggakan yang diraih di Sukan Deaflympics Ke-24 di Caxias do Sol, Brazil, Mei lepas.
Presiden MSDeaf Ong Shin Ruenn berkata pencapaian Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung yang merangkul emas badminton beregu wanita di temasya sukan itu harus diraikan dan diiktiraf dengan cara yang sama seperti atlet normal dan para negara.
Katanya barisan atlet pekak bekerja keras sama seperti atlet normal dalam usaha memenangi pingat, malah turut berkorban masa dan tenaga demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Kini tiba masa untuk bukan saja kerajaan iktiraf sumbangan mereka tetapi beri ganjaran sewajarnya atas segala usaha mereka. Paling penting iktiraf dengan penghormatan dan status sama seperti atlet normal. Kemenangan baru-baru ini sudah tentu memberikan mereka hak itu,'' katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kejayaan cemerlang diraih gandingan Wei Ying-Zu Tung di Brazil itu menamatkan penantian 21 tahun Malaysia meraih pingat emas di temasya itu selepas kali terakhir disumbangkan atlet olahraga pekak Zana Azizul Ujang pada 2001.
Pada masa sama, Ong berkata dengan kejayaan itu atlet pekak juga layak diberi ganjaran seperti atlet normal dan para melalui program Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain membuka jalan kepada sokongan selanjutnya untuk barisan atlet pekak.
Beliau berkata sekiranya diteliti, atlet pekak mempunyai potensi untuk bersaing dengan atlet normal pada masa hadapan dan integrasi itu adalah penting dalam perkembangan mereka melangkaui kerjaya dalam sukan.
"Sukan adalah jalan yang terbaik untuk meningkatkan penglibatan ahli kami dalam komuniti dan menyumbang sesuatu yang bermakna menerusi sukan kepada negara," katanya.
Ong percaya keperluan untuk terus menyokong dan memperkasakan sukan Orang Pekak bukan sahaja penting untuk komuniti Pekak tetapi juga seluruh negara.
Sebagai rekod, MSDeaf kini menerajui kira-kira 8,000 ahli di seluruh negara dan telah menjadi ahli Jawatankuasa Antarabangsa Sukan untuk Orang Pekak sejak 1997.
-- BERNAMA