MSAF promosi sukan udara untuk dipertanding di Sukan SEA
Bernama
Oktober 13, 2024 05:45 MYT
Oktober 13, 2024 05:45 MYT
SERDANG: Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) berharap Kejohanan Sukan Udara 2024 yang julung kali diadakan di negara ini dapat mempromosikan beberapa acara lagi untuk dipertandingkan di Sukan SEA.
Presiden MSAF Mohd Nurhaqimy Ismail berkata ia selepas dua daripada cabang sukan tersebut iaitu paragliding dan paramotor sudahpun dipertandingkan di temasya sukan dwitahunan itu sebelum ini.
"Kami nak naikkan nama sukan udara sebab selama ini ia masih lagi yang dipanggil sebagai sukan rekreasi. Orang awam masih belum faham apa itu sukan udara, justeru menjadi matlamat kami untuk melihat lebih ramai lagi menceburi sukan ini," katanya kepada Bernama sempena hari terakhir Kejohanan Sukan Udara 2024 di sini pada Ahad.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa sukan udara adalah sukan lasak dan berbahaya malah sesetengah acara sukan itu sudah dipertandingkan di peringkat negeri.
Mohd Nurhaqimy berkata pihaknya juga telah mengadakan beberapa perbincangan bersama Kesatuan Sukan Udara Asia untuk mengembangkan lagi sukan berkenaan sekali gus membawa ke peringkat antarabangsa.
"Kita jangka dua tahun lagi untuk bawa sukan udara ini ke peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kejohanan Sukan Udara 2024 yang juga merupakan festival sukan udara bermula Jumaat hingga semalam bertujuan mengangkat nama sukan itu yang kian mendapat tempat di hati peminat baik dari dalam mahupun luar negara.
Sebanyak 40 gerai pameran melibatkan jabatan dan agensi dibuka sempena festival itu selain pameran aset dan jentera oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan acara menarik yang dipertandingkan seperti paramotor, paragliding, aeromodelling dan dron.
-- BERNAMA