Mr Langkawi kembali ke LTdL bersama Bardiani-CSF

Bernama
Mac 30, 2019 05:27 MYT
Tidak ada pelumba lain yang mengungguli Raja Pecut pada perlumbaan 2.HC (katogeri hors) seperti Guardini di LTdL. - Instagram/andreaguardini
Pemegang rekod pemenang peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), Andrea Guardini kembali ke perlumbaan itu bersama pasukan profesional, Bardiani-CSF untuk edisi ke 24 LTdL dari 6-13 April sebagai pelumba pilihan memenangi jersi Hijau (Raja Pecut).
Pelumba 29 tahun dari Itali yang mendapat jolokan nama "Mr Langkawi" selepas penampilannya dengan kemenangan lima peringkat saingan dan kemenangan mata klasifikasi bersama pasukan Farnese Vini, sehingga kini telah memenangi 24 peringkat perlumbaan LTdL.
"Tidak ada pelumba lain yang mengungguli Raja Pecut pada perlumbaan 2.HC (katogeri hors) seperti Guardini di LTdL dan rekod perlumbaannya menunjukkan bagaimana minatnya pada perlumaan ini sejak penampilan profesionalnya pada 2011, dengan hanya tidak menyertainya pada edisi 2017 ketika beliau menyertai pasukan UAE Abu Dhabi, yang tidak bertanding di sini.
"Daripada 42 kemenangan perlumbaan beliau, 24 dimenanginya di LTdL," kata penganjur dalam satu kenyataan mengesahkan penyertaan Guardini.
Mengikut senarai pelumba, Pengarah Perlumbaan Bardiani-CSF Roberto Reverberi turut menyertakan Micro Maestri, bagi memberikan saingan dan malah mungkin mengalahkan rakan sepasukan Guardini sebagai Raja Pecut.
Maestri, 27, yang menjadi pelumba profesional pada 2015, memulakan musim ini dengan keputusan cemerlang apabila mencapai kejayaan terbesar dalam kariernya dengan memenangi katogeri klasifikasi mata di Tirreno Adriatico, memeranjatkan nama besar pada perlumbaan peringkat awal musim sebagai perlumbaan permulaan Giro d'Italia.
Pasukan itu turut membariskan, Alessandro Pessot, 23, Paolo Simion, 26, dan juga pelumba muda Michael Bresciani, 24, dan Daniel Savini, 21.
Sejumlah 22 pasukan mengesahkan penyertaan mereka bagi edisi LTdL tahun ini yang dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd.
Perlumbaan sejauh, 1,234 kilometer, melibatkan lapan peringkat perlumbaan akan bermula 6 April ini di hadapan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin di Negeri Sembilan, di mana edisi kali ini menyaksikan Genting Highland kembali sebagai satu peringkat saingan, dan berakhir di tempat kelahiran LTdL, Pulau Langkawi.
-- BERNAMA
#andrea guardini #bardiani-CSF #jersi hijau #Langkawi #Le Tour de Langkawi #LTdL #mr langkawi #pasukan profesional #pelumba itali #raja pecut
;