MPPA lahir rasa kesal insiden kasari jurufoto media
Bernama
April 17, 2014 10:31 MYT
April 17, 2014 10:31 MYT
Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) hari ini kesal dengan insiden kekecohan penyokong fanatik bola sepak di Stadium Perak sehingga mencederakan seorang jurufoto media, pada Selasa.
Setiausaha Agung MPPA, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz berkata, persatuan itu mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka kertas siasatan berhubung kejadian yang menimpa jurufoto New Straits Time Press, Supian Ahmad.
"MPPA memandang serius kejadian yang berlaku kerana ini merupakan kali kedua membabitkan petugas media dalam kawasan stadium," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau berkata, MPPA juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan aspek penambahbaikan yang perlu dilaksanakan buat jurufoto bertugas dalam bidang sukan khususnya.
"Kita juga bersedia untuk berbincang dengan FAM mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan petugas media," katanya.
Dalam kejadian itu, Supian cedera di lututnya akibat dibaling objek keras ketika sedang merakam foto kekecohan yang berlaku selepas tamat perlawanan Liga Super antara pasukan Perak menentang Johor Darul Takzim (JDT).