MPM mungkin perlu pertimbang semula hantar kontinjen ke AYPG 2021

Bernama
September 29, 2021 07:25 MYT
Ahmad Faizal (tengah) bergambar bersama atlet-atlet negara selepas majlis penyampaian amanat kepada para atlet sempena lawatan rasmi ke MSN, Kuala Lumpur, 29 Sept, 2021. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mungkin perlu mempertimbangkan semula hasrat menghantar kontinjen negara ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain dari 28 Nov hingga 7 Dis depan.
Ia berikutan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seolah-olah 'keberatan' untuk memberi peruntukan bagi atlet remaja negara bertanding, selepas mereka didakwa tidak melakukan persiapan rapi dalam menghadapi edisi keempat temasya itu, selain proses vaksinasi bagi golongan tersebut yang baru bermula.
"Kita alu-alukan (MPM hantar kontinjen), tetapi untuk beri peruntukan sepenuhnya bukan dalam perancangan Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Negara.
"Kita perlu faham apabila nak guna duit kerajaan atau rakyat ini perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab. Jadi kalau nak hantar kontinjen, persiapan rapi perlu dibuat dan program vaksinasi kepada golongan berusia 18 tahun juga baru saja bermula," kata Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, di sini hari ini.
SUKAN-AHMAD FAIZAL (AYPG) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Temasya sukan empat tahun sekali itu yang pertama kali dianjurkan di Jepun pada 2009 adalah untuk atlet remaja para yang berusia 12 hingga 21 tahun.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, untuk membincangkan perkara tersebut.
Terdahulu, MPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat kekangan kewangan dalam menghantar kontinjen negara ke temasya berkenaan, dan telah memohon bantuan kerajaan dalam memastikan barisan 41 atlet remaja itu mendapat pendedahan bersaing di pentas antarabangsa di Bahrain.
Kontinjen negara bercadang untuk menyertai lapan daripada sembilan jenis sukan dipertandingkan di negara berkenaan. Malaysia pernah menjadi tuan rumah edisi kedua temasya itu pada 2013.
Terdahulu, Ahmad Faizal dalam sesi perjumpaan bersama atlet yang mengharumkan nama negara pada Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, baru-baru ini berharap mereka melipatgandakan usaha dalam memastikan keputusan lebih cemerlang dapat dicipta bagi membanggakan 'Keluarga Malaysia' pada masa depan.
Beliau juga mahu MSN melaksanakan program penyediaan atlet bagi kecemerlangan sukan negara khususnya dalam menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom serta Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Hangzhou, China, dengan kesemuanya berlangsung tahun hadapan.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #Majlis Paralimpik Malaysia #tiada persiapan rapi #vaksinasi remaja #AYPG 2021 di Bahrain #peruntukan
;