MPM minta tambahan dana RM50 juta setahun bagi pembangunan sukan para

Bernama
Oktober 15, 2023 18:16 MYT
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (dua, kiri) ketika sidang media pengumuman sasaran Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia 2022 Hangzhou hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap kerajaan akan menambah peruntukan dana kepada sekurang-kurangnya RM50 juta setahun bagi membolehkan program pembangunan atlet para serta sukan itu di peringkat akar umbi diperkasa.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata penambahan dana itu sekali gus mampu disalurkan kepada sejumlah 25 persatuan sukan para di bawah MPM yang sedang mempergiatkan usaha melahirkan lebih ramai atlet pelapis.
"Secara dasarnya peruntukan RM12 juta untuk persiapan temasya para antarabangsa, kami gembira, cuma saya berharap mohon pihak kerajaan untuk memberi atau menambah dana untuk pembangunan sukan maksudnya pembangunan kami sekarang dan kita punya program akar umbi.
Saya ada cakap kami turun ke akar umbi mencari bakat. Kita tak nak bakat tak cukup, jadi walaupun kita ada dana RM12 juta untuk hantar ke temasya para antarabangsa tapi nanti bila tahun depan mungkin 50 peratus atlet ada yang pencen jadi ia tidak mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman sasaran Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia 2022 Hangzhou di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, di sini hari ini.
Megat D Shahriman diminta mengulas berhubung pengumuman RM12 juta oleh kerajaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lepas.
Beliau berkata dana tambahan itu dalam masa sama akan menyelesaikan masalah dihadapi MPM hampir empat tahun tanpa ada peruntukan untuk tujuan pembangunan sukan para dalam negara.
"Banyak keluarga di Malaysia ini masalahnya contoh di pedalaman dan B40, bila mereka nak hantar anak (para) dia kena buat keputusan. Contoh dia ada lima atau enam anak di mana seorang itu kurang upaya jadi mereka akan fikir nak labur dekat kurang upaya atau normal ?" katanya.
Beliau berkata kebanyakan anak-anak yang kurang upaya dari kampung di luar sana tiada kemampuan kewangan untuk menyertai sukan para dan perlukan bantuan.
-- BERNAMA
#Majlis Paralimpik Malaysia #atlet para #D Shahriman Zaharudin #pembangunan atlet
;