MPM jamin isu kad akreditasi tidak timbul di Paralimpik Paris 2024
Bernama
Ogos 23, 2024 10:40 MYT
Ogos 23, 2024 10:40 MYT
SEPANG: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memberi jaminan isu kad akreditasi kontinjen negara tidak akan timbul sepanjang Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau berkata kuota kad akreditasi melibatkan 30 atlet dan 32 pegawai adalah mencukupi pada temasya sukan berprestij dunia itu.
Megat D Shahriman juga memaklumkan menerima lima kuota kad akreditasi yang boleh digunakan secara peribadi dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja pada Paris 2024.
"Saya ada lima kuota kad akreditasi diberikan atas kapasiti sebagai Presiden MPM, satu kuota sebagai ahli Jawatankuasa Paralimpik Asia dan tiga lagi diberikan oleh badan sukan dunia.
"Saya ada kuota untuk bawa sesiapa pun. Jika tetamu saya ahli keluarga saya boleh bawa, jika mereka bukan ahli keluarga juga saya boleh bawa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Abdul Rashid Yaakub.
Media sebelum ini melaporkan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia, dinafikan kehadiran ahli fisioterapi dan pasangan pelatih, manakala jurulatih pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei, Nova Armada tidak dapat bersamanya di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada masa sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria pula dapat membawa keluarganya ke temasya sukan itu sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati peminat sukan tanah air yang lantas menyalahkan Norza atas apa yang berlaku ke atas Zii Jia dan Jin Wei.
Norza telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai kuota khas sebagai Presiden MOM untuk membawa tetamu ke temasya tersebut tanpa mengganggu bahagian untuk atlet dan pegawai seperti dibenarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Dalam pada itu, Megat D Shahriman berharap agar atlet yang membuat penampilan sulung mampu membawa pulang pingat untuk negara dari Paris.
Katanya kejutan juga boleh dilakar oleh sukan renang berdasarkan prestasi semasa yang memberangsangkan.
Seramai 30 atlet dari lapan jenis sukan bakal membawa cabaran negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.
-- BERNAMA