MPM giat cari pelapis atlet para
Bernama
September 29, 2020 04:00 MYT
September 29, 2020 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyasarkan dapat melahirkan sekurang-kurangnya 1,000 atlet para yang baharu pada hujung tahun 2021 menerusi Program Pengenalpastian Bakat Sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata MPM giat mencari pelapis atlet berkelas dunia seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Riduan Mohamad Puzi agar Malaysia tidak ketandusan atlet para yang berbakat.
"Kalau kita lihat pada usia 33 tahun Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (atlet olahraga T36) mungkin akan bersara tidak lama lagi jadi kita perlu atlet setaraf dengannya untuk memastikan MPM terus dipandangtinggi.
"Disebabkan itu kami mengadakan Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU ini untuk segera mencari atlet-atlet pengganti yang berwibawa," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Beliau berkata Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU bermula di Perak hari ini menyaksikan sambutan menggalakkan apabila seramai 120 peserta mengambil bahagian melibatkan dua lokasi iaitu di Taiping dan Teluk Intan.
Katanya, misi mencari pelapis berkelas dunia itu akan diteruskan ke beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan sebelum ke Pantai Timur dan Utara tanah air.
Megat D Shahriman berkata menerusi program berkenaan, peserta perlu melalui 12 ujian ditetapkan antaranya ukuran tinggi, ukuran tinggi duduk, berat badan, ukuran lengan, balingan bola keranjang, larian ketangkasan, lompat jauh dan lompat menegak.
Menurutnya, data yang diambil akan diproses berdasarkan kesesuaian dan kecenderungan sukan buat golongan OKU sebelum diserahkan kepada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri untuk tindakan lanjut.
"Langkah ini juga dapat membantu memudahkan tugas JBS negeri untuk mengenalpasti bakat yang berpotensi untuk dibawa ke Sukan Para SUKMA tahun depan," katanya.
-- BERNAMA
#Majlis Paralimpik Malaysia
#MPM
#atlet para
#Megat D Shahriman Zaharudin
#Muhammad Ziyad Zolkefli
#Mohamad Riduan Mohamad Puzi
#olahraga
#Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU
#Sukan Para Sukma