MPL: MyA tidak cepat 'koyak' dengan masalah teknikal
Mariah Ahmad
April 14, 2018 13:16 MYT
April 14, 2018 13:16 MYT
Biarpun berdepan dengan beberapa masalah teknikal, ia tidak sama sekali mengganggu fokus Mysterious Assassins (MyA) untuk beraksi cemerlang menentang Mystic Burden (MCB).
Selain pengaturan meta (Strategi Paling Efektif), perlawanan MyA dengan MCB pada semalam dilihat lebih tertumpu kepada siapa yang mempunyai fokus yang lebih mendalam. Pendek kata siapa cepat 'koyak', dia akan kalah.
Sebarang kesilapan juga tidak boleh dilakukan sama sekali kerana pihak lawan pasti akan mengambil kesempatan terhadap perkara itu.
Itu yang dilakukan oleh Facebook (Khor Hoi Cean) daripada MyA yang menggunakan hero Fighter Martis untuk mengasak MCB dan mendapatkan First Blood kurang daripada satu minit selepas perlawanan bermula.
Facebook mengambil kesempatan selepas atas kesilapan MCB yang tidak melakukan ban terhadap hero Martis ketika mempunyai peluang.
Mungkin kerana MCB terlalu yakin mereka boleh mengawal 'keganasan' Martis yang mempunyai kelebihan dalam crowd control.
Perlawanan kembali tergendala dan mula menguji kekentalan mental bagi MyA dan MCB untuk terus bertenang dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam permainan.
Apabila kembali bertarung, MyA menggunakan strategi melengahkan MCB untuk membunuh Lord, yang seterusnya memberi kelebihan kepada mereka untuk memusnahkan menara satu-satu persatu MCB dan memenangi perlawanan pertama.
Keberkesanan kapten pasukan King Zyzz menggunakan hero marksman Karrie juga wajar diberi penghargaan berikutan jumlah damage yang tinggi dan sangat menyakitkan.
Situasi yang sama berlaku untuk perlawanan kedua walaupun MyA tidak menggunakan hero mage dalam meta mereka dan digantikan dengaan hero support Rafaela yang dimainkan pemain terbaik KDA ini, Sh4dow.
MyA terus mengekalkan komposisi kemas dengan memberi tekanan bagi setiap laluan.
MCB dilihat tidak mampu menanggung tekanan yang diberikan dan akhirnya terpaksa akur tewas di tangan MyA, 2-0.
MyA bakal bertarung dalam pusingan Upper Bracket pada hari ini menentang musuh tradisi AirAsia Saiyan.
Adakah MyA mampu menggegarkan empayar gah AirAsia Saiyan dan membuktikan siapa sebenarnya yang terbaik di Malaysia?