Moyes enggan layan desakan letak jawatan

Sinar Harian
Februari 18, 2024 07:30 MYT
Peminat West Ham memegang kain rentang mendesak David Moyes meletak jawatan, ketika perlawanan EPL antara Nottingham Forest dan West Ham United, di City Ground, Nottingham, England, 17 Feb 2024. (Foto AP)
DAVID Moyes tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan untuknya meletak jawatan susulan kekalahan terbaharu West Ham.
West Ham tewas 0-2 kepada pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forrest semasa kunjungan ke City Ground pada Sabtu.
Lebih malang, The Hammers terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Kalvin Phillips dilayangkan kad merah pada minit ke-71.
Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dicatat West Ham sejak dibelasah 0-6 oleh Arsenal minggu lalu dan dijinakkan Machester United 3-0 di Old Trafford awal bulan ini.
Peminat yang bertandang ke City Ground mengeluarkan kain rentang bertulis 'Moyes Out' selepas wisel penamat ditiupkan.
Mengulas, situasi itu, Moyes yang kontraknya tamat pada penghujung musim ini berkata: “Anda tidak boleh menggembirakan semua orang tetapi nampaknya peminat seperti tidak menghargai pencapaian kelab sebelum ini iaitu memenangi trofi (Liga Konferensi UEFA).
"Mungkin mereka mahukan pengurus yang lebih menghiburkan.”
West Ham yang bermula garang pada separuh masa pertama musim ini terjerumus ke kedudukan kelapan EPL.
Dengan aksi EPL berbaki 13 perlawanan, ia berpotensi untuk West Ham kempunan sebarang slot bermain di pentas Eropah pada musim depan. - Sinar Harian
#David Moyes #letak jawatan #EPL #West Ham United
;