JOSE MOURINHO menjangkakan Real Madrid akan bersikap terbuka dan berterus-terang dalam usaha menggoda penjaga gol Manchester United, David de Gea.

Khabar angin mengenai masa depan pemain Sepanyol itu kembali menjadi persoalan minggu ini, selepas pemain berusia 26 tahun itu memberitahu akhbar AS, 'tiada siapa yang tahu tentang masa depan' apabila disoal mengenai perpindahan ke Santiago Bernabeu.

Presiden Florentino Perez berkata seseorang sedang mencari pasal dengan De Gea dan menegaskan sebarang rundingan hanya akan berlangsung selepas musim ini berakhir.

Mourinho percaya De Gea -- yang menandatangani kontrak baru selama empat tahun -- gembira di Old Trafford, namun yakin Madrid tidak menggunakan sebarang helah dalam mendapatkan khidmat pemain itu.

"Saya tidak akan bercakap tentang sebarang andaian," kata bekas pengendali Real Madrid itu.

"Satu-satunya perkara yang pasti adalah, dia merupakan pemain saya. Saya gembira dengannya, saya tahu dia juga begitu dan tiada apa-apa selain daripada itu.

"Perez dan orang kanannya, Jose Angel Sanchez, saya tidak bekerja untuk mereka.

"Saya boleh katakan kami akrab. Saya sangat menyukai mereka. Kami selalu berhubungan, kami terbuka, kawan akan bersikap jujur.

"Maka, kalau saya mahukan salah seorang pemain mereka atau sebaliknya, kami tidak akan melakukannya melalui media untuk saling bertukar pesanan.

"Kami akan terus berhubung. Mereka adalah sebuah kelab yang langsung tidak menggusarkan saya."