Mourinho tidak berpuas hati dengan aksi Mkhitaryan
Astro Arena
November 4, 2016 10:10 MYT
November 4, 2016 10:10 MYT
HENRIKH Mkhitaryan menjadi mangsa kemarahan pengurus Manchester United, Jose Mourinho, selepas pemain tengah itu kembali dalam kesebelasan utama dalam kekalahan 2-1 kepada Fenerbahce dalam kempen Liga Europa, awal pagi tadi.
Perancang tengah yang tiba dari Borussia Dortmund sejak Julai lalu itu kembali beraksi sejak penampilan pertamanya dalam perlawanan menentang musuh setempat, Manchester City, pada 10 September lalu, apabila dia dimasukkan pada minit ke-61 bagi menggantikan Marcus Rashford di Turki.
Biarpun ketika itu United sudah ketinggalan dengan dua gol, Mourinho tetap mengkritik persembahannya dan menuntut dia beraksi lebih baik jika berhasrat bermain dalam kesebelasan utama, dan dalam masa yang sama, Mourinho menolak cadangan untuk menjual pemain berusia 27 tahun itu.
"Saya tidak fikir untuk menjualnya, tapi dia harus bekerja lebih keras -- mudah sekali," kata Mourinho dalam sidang akhbar selepas perlawanan berakhir.
"Kami mempunyai impian tinggi di kelab ini, kami memiliki ramai pemain untuk merebut posisi itu dan dia perlu beraksi lebih baik berbanding Juan Mata, Jesse Lingard dan Anthony Martial.
"Setiap pengurus dalam dunia ini mahukan kemenangan, setiap jurulatih mahu pemain berfikir bahawa dia boleh membantu pasukan dan begitu juga dengan saya."
Mourinho turut berpendapat krisis di bahagian pertahanan United -- apabila Eric Bailly, Phil Jones, Chris Smalling dan Antonio Valencia antara pemain yang tersisih -- membuktikan mereka merindui khidmat mereka dalam perlawanan itu.
"Saya sedar kami berdepan masalah dan bermain di tempat lawan tanpa pemain pertahanan tengah yang sesuai adalah sukar," tambahnya.
"Bola sepak bermula dengan penjaga gol dan dua pemain pertahanan tengah yang hebat -- kami pula meletakkan dua bek kiri.
"Kasihan Daley Blind yang diletakkan di bahagian kanan pertahanan tengah, ia menambahkan kerumitan. Pada ketika ini, itulah kelemahan kami."