Mourinho 'panas' namun belum masa untuk tekan butang panik
Ian Johan Ariff
Ogos 20, 2018 06:08 MYT
Ogos 20, 2018 06:08 MYT
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho dilaporkan tidak lagi mendapat sokongan penuh pemilik dan lembaga pengarah kelab itu.
Spekulasi timbul apabila Mourinho melalui pra-musim yang tegang berikutan gagal mendapatkan pemain baru untuk mengharungi musim baru ini.
Selain itu, khabar angin tersebut mula bertiup kencang selepas United mencatat keputusan yang kurang memuaskan pada perlawanan pra-musim dan gagal memenangi sebarang trofi musim lepas.
Walaupun baru dua perlawanan dimainkan musim ini, mood di kem United dan bahasa gerak-geri Mourinho serta pemain-pemainnya seakan menunjukkan seperti ada yang tidak kena.
Namun setakat ini semua itu sekadar khabar angin termasuklah berita yang menyatakan bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane bakal mengambil alih tempat Mourinho di Old Trafford.
Masih terlalu awal untuk menekan butang panik akibat kekalahan yang dialami pada hujung minggu lalu kepada Brighton, walaupun kemenangan ke atas Leicester City dalam perlawanan pertama dianggap kurang meyakinkan.
Permainan United tidak mengujakan dan membosankan bagi sesetengah penyokong menyebabkan gosip bahawa pemilik kelab mahu ZIdane mengambil alih menjadi sensasi.
Zidane disenaraikan sebagai pilihan untuk menggantikan Mourinho bagi penerima taruhan dengan pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino di tempat kedua.
Zidane kini sedang berehat selepas meletak jawatan sebagai pengurus Madrid dan dijangka mengatur strategi dan taktikal yang lebih menarik untuk the Red Devils.
Disebalik semua gosip bahawa Zidane bakal menggantikan tempat Mourinho jika dia dipecat, pengendali dari Portugal itu terus dilapor terus mendapat sokongan pemilik kelab.
Ini kerana skuad sebenar Mourinho belum pulih dan cergas sepenuhnya dengan ketiadaan Alexis Sanchez yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.
#Alexis Sanchez
#Brighton
#Jose Mourinho
#Manchester United
#Old Trafford
#Real Madrid
#the Red Devils
#Zinedine Zidane