Mourinho jangka Ibrahimovic tinggalkan Red Devils

Astro Arena
Mac 2, 2018 06:45 MYT
Ibrahimovic (gambar) dijangka tidak diturunkan menentang Crystal Palace dalam Liga Perdana, sebaliknya Mourinho berpendapat penyerang berkenaan dapat kembali beraksi dalam masa terdekat. - Foto Astro ARENA
JOSE Mourinho berkata keputusan mengenai masa depan Zlatan Ibrahimovic terletak di tangan pemain itu sendiri, namun penyerang veteran itu dijangka meninggalkan Manchester United sejurus kontraknya berakhir.
Kecederaan lutut membatasi penampilan Ibrahimovic pada musim ini dengan hanya tampil dalam perlawanan 'Boxing Day' di laman sendiri dengan Burnley, sebelum digantikan pada separuh masa kedua.
Sejak itu, Ibrahimovic tidak pernah diturunkan sambil pemain berusia 36 tahun itu menyatakan dia mungkin keluar daripada persaraan antarabangsa untuk mewakili bersama Sweden dalam Piala Dunia.
Ibrahimovic menandatangani kontrak baru selama setahun pada Ogos lalu walaupun masih dibelenggu masalah lutut dan pengurus United itu mengakui menjangkakan pemain itu akan berkelana ke Amerika Syarikat pada akhir musim ini.
"Bagi Zlatan, kita semua menjangkakan musim lalu adalah musim terakhirnya di Manchester United dan ia akan menjadi keputusan yang sangat peribadi untuknya meneruskan karier atau bersara," kata Mourinho.
"Saya fikir dia berhak memilih hala tuju dan masa depannya -- dia adalah seorang pemain hebat dengan kerjaya luar biasa yang ditimpa kecederaan teruk pada masa yang salah. Dia sepatutnya masih mampu mengharungi beberapa musim hebat lagi bersama kami.
"Musim ini sangat sukar baginya. Adakah dia tercedera? Tidak, dia tidak cedera, adakah dia berasa gembira dan benar-benar bersedia dan yakin bahawa dia berada dalam keadaan untuk membantu pasukan pada masa ini? Tidak.
"Tetapi dia seorang lelaki yang jujur ​​dan juara sehinggalah dia memberitahu mahu kembali dengan perasaan 'Saya benar-benar bersedia untuk itu'. Dia bekerja keras, semoga evolusinya akan membawanya ke tahap positif yang dihajatinya."
Ibrahimovic, yang telah menjalani latihan bersama United, dijangka tidak diturunkan menentang Crystal Palace dalam Liga Perdana, sebaliknya pengurus itu berpendapat penyerang berkenaan dapat kembali beraksi dalam masa terdekat.
"Saya rasa sihat, saya telah berlatih bersama pasukan selama dua minggu dan berasa baik," kata Ibrahimovic kepada media Sweden.
"Saya perlu berlatih, bersenam dan bermain agar pergerakan itu menjadi rutin saya.
"Dapatkan lebih banyak situasi seperti dalam perlawanan kerana saya telah tersisih agak lama."
Phil Jones, Marcos Rojo dan Daley Blind juga akan terlepas kunjungan ke Selhurst Park, awal pagi Selasa.
#Amerika Syarikat #cedera #Crystal Palace #EPL #Jose Mourinho #kontrak #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #Piala Dunia #Sweden #Zlatan Ibrahimovic
;