Mourinho jadi pengulas TV selepas nafi sertai Benfica

Astro Arena
Januari 11, 2019 19:19 MYT
MOURINHO: Saya tidak gemar menjadi berita sensasi.
BEKAS pengurus Manchester United, Jose Mourinho, akan tampil selaku pengulas bola sepak bagi saluran beIN SPORTS.
Perkara itu disahkan sendiri syarikat penyiar sukan itu.
Mourinho dipecat Manchester United bulan lalu dan The Red Devils kini memenangi kelima-lima perlawanan di bawah pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer.
Pengendali kelahiran Portugal itu menafikan kepulangannya ke saingan Liga Primeira bersama Benfica manakala spekulasinya ke Inter Milan atau Real Madrid juga masih menimbulkan persoalan.
"Saya tidak gemar menjadi berita sensasi, namun saya tidak berniat untuk kembali ke Portugal.
"Cara terbaik untuk menghormati pasukan yang hebat (Benfica) dan presiden yang hebat adalah untuk menyatakan yang saya tidak diberikan tawaran," katanya kepada Correio da Manha, kelmarin.
Bagaimanapun, Mourinho telah kembali bekerja selepas mengikat perjanjian dengan beIN yang akan menyaksikannya mengulas perlawanan Liga Perdana Inggeris dan Piala Asia bagi penyiar sukan itu.
Dia akan melakukan kemunculan pertamanya dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia di antara Qatar dan Arab Saudi, Jumaat depan.
Dia akan meneruskan tugas itu dua hari kemudian bagi mengulas perlawanan Liga Perdana di antara Arsenal dan bekas pasukan kendaliannya, Chelsea.
Sebagai rekod, Mourinho bukanlah orang asing dalam bidang penyiaran sukan.
Dia merupakan sebahagian daripada pengulas sukan syarikat penyiaran yang berpangkalan di Russia, RT, ketika Piala Dunia tahun lalu.
#bekas pengurus #bola sepak #Jose Mourinho #Manchester United
;