Mourinho berang aksi longlai jentera serangan United

Astro Arena
September 23, 2018 09:12 MYT
Paul Pogba berebut bola dengan Ruben Neves dalam perlawanan EPL antara Manchester United dan Wolverhampton Wanderers di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 22 Sept, 2018. (Foto AP)
PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho, menuding jari ke arah barisan penggempur pasukan selepas The Red Devils diikat Wolverhampton Wanderers 1-1 di Old Trafford, lewat malam semalam.
Dalam aksi Sabtu, bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson, dilihat berada di bangku penonton di Old Trafford buat pertama kali selepas mengalami pendarahan pada bahagian otak, Mei lalu tetapi United mempamer aksi longlai sehingga terpaksa berkongsi satu mata dengan Wolves.
United meraih deretan peluang untuk mendapatkan kemenangan tetapi disia-siakan, sehingga pengurus pasukan, Jose Mourinho, berang dengan persembahan yang dipamerkan oleh beberapa pemain seperti Romelu Lukaku, Jesse Lingard dan Alexis Sanchez.
"Saya rasa ia adalah keputusan yang seimbang," kata Mourinho.
"Lawan berhak meraih mata dan saya rasa kami layak menerima hukuman dengan hanya mengutip satu mata.
"Wolves bermula lebih baik, agresif dan bertenaga. Saya tidak tahu kenapa tetapi mereka lebih bermotivasi. Selepas 10 atau 15 minit, mereka mula mempamerkan kemampuan sebenar mereka.
"Kami melalui permulaan suram dalam babak kedua sehingga membolehkan mereka mencatat gol penyamaan, sebelum bertahan dengan barisan pertahanan yang ramai.
"Secara jujur, saya mengharapkan sesuatu lebih bagus daripada barisan serangan. Mereka kekurangan kreativiti, pergerakan, dinamik dan ia membuatkan lawan mudah mengatur gerakan."
"Mereka cuba melakukan asakan terus dan menghadirkan beberapa masalah tetapi secara keseluruhan, kami tidak layak menerima lebih daripada keputusan seri.
"Persembahan pasukan memeranjatkan saya. Anda boleh lihat bagaimana kami dibolosi, di mana selepas kehilangan bola di bahagian tengah.
"Wolves dalam keadaan sedar kerana tidak beraksi pada pertengahan minggu. Kami tahu Joao Moutinho dan Ruben Neves mampu beraksi dengan baik sehingga menyekat kami. Secara jujur, persembahan kami tidak konsisten, dinamik dan kreatif," tambahnya.
Kemasukan Juan Mata, Anthony Martial dan Andreas Pereira jelas menghadirkan lebih ancaman ke gawang lawan tetapi Mourinho tidak berada dalam keadaan yang baik untuk memuji mereka.
"Apabila mereka masuk beraksi, kedudukan tetap sama dan tidak mengubah kepada sesuatu yang lebih baik.
"Peningkatan sehingga penamat adalah sesuatu yang biasa tetapi saya rasa barisan depan kami tidak begitu kreatif."
#barisan pertahanan #bola sepak #English Premier League #EPL #Jose Mourinho #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #permulaan suram #Sir Alex Ferguson #Wolverhampton Wanderers
;