MotoGP: Saya anggap diri saya amat bertuah - Morbidelli

Bernama
Ogos 17, 2020 14:28 MYT
MORBIDELLI: Melihat pada rakaman kemalangan itu, saya bersyukur selamat. Ia kemalangan yang aneh. - AP
"SAYA anggap diri saya amat bertuah", kata pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli yang terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Moto di GP Austria di Litar Red Bull Ring semalam.
Pelumba Itali berusia 25 tahun itu terlibat dalam kemalangan dramatik dan bahaya di Selekoh 3 pusingan 6 dengan pelumba Perancis, Johann Zarco daripada Esponsorama Racing yang menyebabkan bendera merah dikeluarkan. Tangan kanan, bahu dan kepalanya cedera dalam nahas itu, tetapi imbasan CT menunjukkan tiada kecederaan teruk.
"Saya mengalami bengkak, tetapi semuanya baik. Melihat pada rakaman kemalangan itu, saya bersyukur selamat. Ia kemalangan yang aneh kerana Johann (Zarco) memintas saya di laluan lurus dan kemudian menukar laluannya dengan membrek sehingga terbabas," katanya seperti dipetik dalam laman web pasukan itu www.sepangracingteam.com.
"Dengan keadaan itu adalah mustahil untuk saya mengelaknya. Syukur, kedua-dua kami okay. Adalah penting untuk mendapatkan mata baik pada perlumbaan ini ...saya minta maaf kepada pasukan saya kerana kami tidak berjaya melakukannya kali ini. Saya mencuba yang terbaik tetapi tidak dapat lakukan kali ini. Kami akan cuba semula Ahad depan," katanya.
Sementara itu, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata semalam merupakan waktu sukar bagi pasukan, dengan Morbidelli cedera dalam insiden itu manakala rakan sepasukannya, Fabio Quartararo menamatkan saingan di tempat kelapan selepas berdepan isu teknikal pada jenteranya.
"Kami gembira Franco tidak apa-apa, keadaan pasti lebih teruk buat dirinya dan orang lain. Kami doakan yant terbaik buat dirinya dan kami pasti akan bangkit dengan lebih menyerlah pada minggu depan," kata Razlan.
"Kami sedar litar ini sukar buat Yamaha, tetapi saya fikir kami perlu nilai dan semak semula apa yang berlaku pada Fabio hari ini. Dengan ini kami boleh buat persediaan untuk perlumbaan di sini pada hujung minggu depan (di litar sama), dan berharap untuk melakukan penambahbaikan," katanya.
Pelumba Itali, Andrea Dovizioso daripada Ducati MotoGP Team, menjulang kemenangan pertamanya dalam MotoGP pada musim ini selepas mencatatkan 28 minit 20.853 saat dalam perlumbaan itu yang dimulakan semula kepada 20 pusingan selepas insiden itu.
Pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar dan pelumba daripada Pramac Racing, Jack Miller, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan masa 1.377 saat dan 1.549 saat.
-- BERNAMA
#austria #franco morbidelli #Grand Prix #kemalangan #MotoGP #Petronas Yamaha Sepang Racing Team #red bull ring #yamaha srt
;