MotoGP Perancis: Marquez raih juara hatrik

Agensi
Mei 21, 2018 18:43 MYT
Marquez menguasai perlumbaan selepas dua seteru rapatnya terjatuh dan menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 14:49.773. - Foto Instagram/ @marcmarquez93
MARC MARQUEZ sekali lagi melakar kemenangan ketiga berturut-turut pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan kelebihan 36 mata selepas muncul juara pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Bugatti, Le Mans malam tadi.
Pada saingan itu, pelumba Ducati, Jorge Lorenzo menguasai kedudukan pertama pada awal perlumbaan yang disaingi hebat oleh pelumba Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco serta rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovizioso.
Namun Marquez berjaya mengatasi dua seteru rapatnya selepas Dovizioso terjatuh ketika memasuki pusingan keenam dan pelumba petak pertama yang juga pilihan tuan rumah, Zarco juga terjatuh pada dua pusingan selepas itu.
"Saya mahu mengatasi Lorenzo dan saya rasa para peminat akan memahaminya kerana saya cuba yang terbaik untuk menang," kata Zarco.
Dua insiden kemalangan terbabit memberi peluang kepada pelumba Repsol Honda itu memecut laju memintas Lorenzo di depan dan terus me­nguasai perlumbaan hingga menamatkan sai­ngan dengan catatan keseluruhan 14:49.773.
“Ketika perlumbaan berlangsung, saya lihat keada­an litar membuatkan tayar menjadi tidak cengkam berbanding semalam (kelmarin).
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan kejayaan hari ini kerana perlumbaan di litar menjadi sengit dan sukar disebabkan semua pelumba sa­­­ngat rapat dan laju,” ujar Marquez.
Pelumba Alma Pramac Racing, Danilo Petrucci menamatkan saingan tempat kedua dan pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi di kedudukan ketiga.
Sementara itu, pelumba MotoGP negara, Hafiz Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 sekali gus mengutip empat mata selepas memulakan perlumbaan pada petak ke-14.
Hafizh yang juga dikenali sebagai El Pescao mempertahankan kedudukannya sebagai status pelumba baharu terbaik dengan kelebihan satu mata mengatasi Franco Morbidelli.
#Grand Prix #Hafiz Syahrin Abdullah #Honda #kemalangan #marc marquez #Monster Yamaha Tech3 #MotoGP #Perancis #Repsol Honda #Valentino Rossi
;