MotoGP: Pelumba Aprilia Racing buat kejutan hari pertama ujian pramusim

Bernama
Februari 5, 2022 23:26 MYT
Masing-masing meraih kedudukan pertama dan kedua pada sesi Ujian Musim Sejuk 2022 hari ini. - Gambar/ MotoGP.com
SEPANG: Dua pelumba MotoGP Aprilia Racing, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales bagai memberi amaran awal kepada pelumba lain menjelang musim ini apabila masing-masing meraih kedudukan pertama dan kedua pada sesi Ujian Musim Sejuk 2022 di sini, hari ini.
Espargaro yang berusia 32 tahun mencatat masa terpantas hari ini apabila pelumba Sepanyol itu merekodkan masa satu minit dan 58.371 saat (s) dalam pusingan kesembilan daripada 42 pusingan pada sesi yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini.
Rakan senegaranya, Vinales muncul kedua terbaik selepas menamatkan 56 pusingan dengan masa terbaik 1:58.384s pada pusingan ke-54, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Alex Rins daripada pasukan Suzuki Ecstar di tempat ketiga dengan masa terbaik 1:58.471s pada pusingan kedua terakhirnya daripada 72 pusingan pada sesi hari ini
Sementara itu, juara bertahan Fabio Quartararo daripada Monster Energy Yamaha MotoGP menamatkan ujian hari ini di tempat keenam selepas mencatat 1:59.002s, diikuti juara 2020 Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar di tempat ketujuh dengan masa terbaiknya 1:59.067s pada pusingan ke-63 daripada keseluruhan 68 pusingan.
Juara enam kali Marc Marquez, yang baru diisytiharkan cergas untuk beraksi di litar di sini berikutan kecederaan dialaminya tahun lepas, mencatat 1:59.287s dalam pusingan ke-55 selepas menamatkan 62 pusingan pada sesi ujian pramusim pertama ini.
Pelumba berusia 28 tahun itu tidak dapat beraksi sejak Oktober lalu kerana mengalami masalah penglihatan berganda akibat kemalangan ketika latihan.
Ujian Musim Sejuk 2022 selama dua hari di sini berakhir esok.
-- BERNAMA
#MotoGP #Aprilia Racing #Aleix Espargaro #maverick vinales
;