MotoGP: Pasukan Tuenti HP 40 raih dua tempat teratas Moto2

Ben Dolnick
Oktober 13, 2013 10:47 MYT
Penunggang daripada pasukan Tuenti, Esteve Rabat dan Pol Espargaro dari Sepanyol meraih dua tempat teratas dalam perlumbaan kelas Moto2 yang dipendekkan dalam Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Sepang di sini hari ini.
Perlumbaan itu pada mulanya dijadual sebanyak 19 pusingan tetapi jarak perlumbaan dipendekkan kepada 12 pusingan disebabkan kelewatan selepas berlaku beberapa perlanggaran semasa pusingan pembukaan.
Insiden itu membabitkan lima penunggang, termasuk penunggang gantian Malaysia daripada Technomag carXpert, Zaqhwan Zaidi, yang tidak mengalami kecederaan serius.
Rabat melakar kemenangan ketiganya menerusi catatan 25 minit dan 45.411 saat diekori Espargaro dengan jarak 1.563s, iaitu 25:46.974s.
Penunggang Switzerland, Thomas Luthi daripada Interwetten Paddock Moto2 Racing di tempat ketiga dengan catatan 25:48.321s.
Ketika perlumbaan bersambung semula, Espargaro mengambil peluang merebut tempat di hadapan, sebelum dipintas Rabat dan kekal berada pada kedudukan itu sehingga perlumbaan berakhir.
Rabat ketika ini berada di tempat ketiga dalam kedudukan penunggang Moto2 dengan 196 mata, 28 mata di belakang juara kejohanan Scott Redding dari Great Britain yang mengumpul 224 mata.
Sementara itu, Espargaro berada di tempat kedua dengan 215 mata, merapatkan jurang sebanyak sembilan mata berbanding Redding untuk meraih kejuaraan dunia.
Redding menamatkan perlumbaan hari ini di tempat ketujuh dengan catatan 25:55.251s dan menambah hanya sembilan mata kepada kedudukannya sekarang.
#Esteve Rabat #motogp2 #Tuenti