MARC Marquez mendedikasikan kemenangannya dalam Grand Prix Jerman malam tadi buat kesemua yang membantunya sepanjang tempoh pemulihannya daripada kecederaan patah lengan.

Juara MotoGP enam kali itu mengalami kecederaan berkenaan ketika perlumbaan pembukaan musim 2020 di Jerez sebelum terpaksa berehat panjang apabila plat besi yang diletakkan di tulang humerusnya mengalami kerosakan.

Selepas berehat sepanjang tahun lalu dan dua pusingan pertama musim 2021, pelumba Sepanyol tu menamatkan dua perlumbaan pertama di tempat ketujuh dan kesembilan sebelum gagal tamat dalam tiga perlumbaan berturut-turut, yang menyaksikan dia ketinggalan dalam carta keseluruhan pelumba.

Bagaimanapun, saingan di Sachsenring kali ini menyaksikan Marquez kembali menemui tunggangan terbaiknya bagi merekodkan 11 kemenangan berturut-turut di litar itu -- lapan daripadanya dalam kategori perdana.

Marquez kelihatan amat beremosi sebaik melintasi garisan penamat memandangkan dia bukan sahaja menamatkan penantian peribadinya, bahkan turut menamatkan kemarau kejuaraan buat pasukannya, di mana Honda tidak pernah memenangi sebarang perlumbaan sejak di Grand Prix Valencia pada 2019.


"Ia benar dan masih lagi waktu sukar dalam karier saya, jadi kemenangan ini banyak membantu," kata Marquez yang kelihatan mengalirkan air mata di atas litar sebelum meraikan kejayaan bermakna itu bersama pasukannya menjelang ke podium.

"Apabila anda berada dalam situasi sukar, apabila anda kemalangan dalam tiga perlumbaan berturut-turut, ia bukan sesuatu yang mudah daripada segi mental dan fizikal.

"Tetapi apabila saya melintasi garisan penamat, saya terus memikirkan mengenai mereka yang membantu saya untuk berada di sana kerana dalam situasi seperti ini, amat mustahil untuk melakukannya seorang diri.

"Anda memerlukan pasukan, doktor, ahli fisioterapi, pengurus, keluarga dan rakan, semua pihak membantu anda. Mereka banyak membantu saya untuk kembali seperti ini.

"Hari ini, ia waktu untuk menikmatinya dan saya mahu berterima kasih kepada mereka, terutama Honda. Rasa hormat yang berikan buat saya sepanjang tahun ini merupakan sesuatu yang amat saya hargai.

"Ini akan menjadi kemenangan yang amat hebat dan penting, bukan sahaja buat saya tetapi juga buat seluruh keluarga Honda," katanya.

 
Sumber Facebook MotoGP