MotoGP: Jorge Lorenzo tidak sangka sempat pintas Marc Marquez di Mugello
Astro Arena
Mei 22, 2016 21:51 MYT
Mei 22, 2016 21:51 MYT
Pelumba Yamaha Movistar, Jorge Lorenzo, menguasai Litar Mugello dalam GP Itali selepas berjaya mengetepikan saingan pelumba Honda Repsol, Marc Marquez, hanya beberapa meter sebelum sampai ke garisan penamat.
Lorenzo menguasai hampir keseluruhan perlumbaan sebaik dilepaskan.
Bermula di petak kelima, Lorenzo menampilkan tunggangan lebih kemas untuk mendahului perlumbaan di hadapan rakan sepasukan, Valentino Rossi.
Bagaimanapun, situasi itu tidak kekal lama apabila Rossi terpaksa bersara daripada perlumbaan ekoran jentera M1 miliknya mengalami masalah.
Nyata ia keputusan yang mengecewakan buat pelumba Itali berusia 37 tahun itu yang beraksi di hadapan laman sendiri.
Ini kali kedua masalah enjin menimpa Yamaha pada Ahad selepas perkara sama berlaku kepada jentera Lorenzo ketika sesi pemanas badan.
Lorenzo dan Marquez sering kali memintas satu sama lain dengan perlumbaan berbaki sembilan pusingan.
Marquez di depan sehinggalah memasuki selekoh terakhir apabila Lorenzo memecut habis-habisan untuk menduduki tempat pertama kurang beberapa meter dari garisan penamat.
Kemenangan Lorenzo terpaksa ditentukan menerusi 'photo-finish' susulan kedua-dua jentera dilihat memintas garisan penamat pada masa yang sama.
Lorenzo menamatkan perlumbaan dengan catatan 41 minit 36.525 saat, hanya 0.019 saat dibezakan dengan Marquez.
"Jentera saya kurang pantas hari ini, jadi saya tidak mampu meninggalkan Marquez seperti mana yang saya mahukan.
"Ketika saya dipintas Marquez, saya sudah mula berfikir untuk selesa dengan tempat kedua, namun di selekoh terakhir saya mengambil peluang untuk melakukan 'slipstream', sekali gus membantu saya meraih kemenangan yang tidak dijangka ini," jelas Lorenzo.
Sementara itu, Marquez akui sudah menjangkakan situasi itu.
"Saya sedar Lorenzo kekal rapat walaupun saya sudah memecut habis-habisan. Kami sememangnya berdepan masalah dari aspek pecutan sebelum ini sehingga memaksa saya untuk mengambil risiko dengan memecut di selekoh yang berbahaya," ujarnya.