MotoGP: Espargaro, SIC berdepan hukuman
Bernama
Februari 6, 2022 16:37 MYT
Februari 6, 2022 16:37 MYT
SEPANG: Pelumba Aprilla Racing Aleix Espargaro bakal berdepan hukuman susulan tindakan culasnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada Ujian Musim Sejuk MotoGP 2022 yang berlangsung di sini.
Pengarah Cawangan Pembangunan Rekreasi Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negara Nor Azli Mohamad Daud berkata hukuman berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu akan turut dikenakan kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selaku penganjur acara.
"Kita telah panjangkan syor daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya.
"Memang akan ada tindakan seperti mana yang telah berlaku terhadap pihak yang melanggar SOP pada kejohanan sukan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan hari kedua Ujian Musim Sejuk 2022 di SIC hari ini.
Bagaimanapun, Nor Azli memaklumkan beliau tidak boleh memperincikan bentuk hukuman dikenakan kerana KKM sahaja yang boleh mengulas lanjut mengenai isu berkenaan memandangkan Akta 342 terletak di bawah seliaan kementerian itu.
Dalam pada itu, Nor Azli berpuas hati dengan penganjuran Ujian Musim Sejuk kali ini terutama dengan pematuhan SOP yang dikenakan terhadap semua pihak terlibat termasuk penonton yang hadir ke litar berkenaan dalam acara bermula semalam dan berakhir hari ini.
"Secara umumnya, saya mengharapkan agar model gelembung sukan di sini akan dijadikan kerangka bagi penganjuran acara sukan lain pada masa akan datang. Acara ini telah mencapai kejayaan hampir 90 peratus dari segi pematuhan SOP dikenakan," katanya.
Beliau pada masa sama mengambil maklum rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan melarang kehadiran kanak-kanak di bawah umur 12 tahun selain larangan makan atau minum di venue sukan dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.
Katanya pihaknya sering memperjuangkan agar sekatan itu dapat dilonggarkan pada mesyuarat teknikal pengurusan pandemik COVID-19 dan berharap ia berjaya dilakukan pada satu hari nanti.
Sementara itu, Espargaro dalam sidang media berkata beliau masih belum menerima sebarang maklumat terkini berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atasnya selepas mengemukakan surat permohonan maaf kepada kerajaan Malaysia, Jumaat lepas.
Sebuah portal antarabangsa (motorsport.com) melaporkan SIC mengeluarkan amaran kepada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) selepas seorang pelumba didakwa melanggar protokol gelembung sukan dengan berbasikal berhampiran Putrajaya, kira-kira 35 kilometer dari litar berkenaan, Khamis lepas.
Mengikut SOP ditetapkan, kesemua pasukan dan pelumba terlibat dalam ujian berkenaan hanya dibenarkan tinggal di sebuah hotel dan berulang-alik ke litar sahaja.
-- BERNAMA